logo

Logo OGKL

Logo OGKL

Thursday, 3 January 2013

L01: Ekspedisi Chamah - Ulu Sepat

XPDC Gunung Chamah - Ulu Sepat 
Tarikh: 25/5 - 2/6/2001 
Tempat: Grik, Kedah


Hampir 5 jam kami duduk didalam bas Transnasional dari Kuala Lumpur akhirnya pada jam 3.30 pagi kami tiba ke Pekan Grik . Setelah solat subuh dan bersarapan kami juga tidak lupa untuk melapurkan diri ke Balai Polis berhampiran. Setelah menyelesaikan segala urusan kami menaiki 2 buah kereta pacuan 4 roda untuk ke Jeti Trojen.

Di Jeti Trojen ini dua buah bot telah disediakan untuk 18 orang pendaki dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur yang lebih dikenali dengan panggilan ringkas OGKL.


Permandangan indah ketika mengharungi tasik buatan manusia ini tidak akan mudah untuk kami lupakan. Jurupandu bot mengemudi botnya dengan berhati-hati kerana jika tersilap haluan akan terlanggar tunggul-tunggul kayu yang masih terdapat di dasar tasik.



Setibanya kami di Jeti Khemar kami dibawa oleh 2 jip pacuan 4 roda ke Pos Khemar. Selepas makan tengahari kami dibawa ke hujung kampung untuk menemui 2 orang asli yang akan menjadi penunjuk arah bagi kami sepanjang ekspedisi selama 6 ½ hari ini.



Kami memulakan perjalanan kami dengan berbekalkan doa selamat dan melakukan sedikit warm-up. Perjalanan hari pertama ini amatlah mencabar kerana bekalan makanan untuk 6 hari terpaksa kami galas .Kami juga terpaksa mengharungi beberapa buah anak sungai .Kami tiba di kem site pertama iaitu Kem Relik lebih kurang pukul 5.45 petang . Peserta sibuk mendirikan khemah sementara urusetia pula sibuk menyediakan makan malam sebelum hari gelap.Para peserta mengambil peluang untuk mandi dipunca air yang jauh kebawah dan airnya sangat sejuk tetapi amat menyegarkan. Sessi -suai kenal diadakan untuk memperkenalkan peserta diantara satu sama lain supaya lebih mesra ketika trekking. Ekspedisi kali ini telah disertai bersama oleh kedua-dua pengerusi kelab dan naib pengerusi kelab iaitu En.Adanan dan Abang Rashid. Sebelum tidur, Abang Rashid telah memberikan sedikit taklimat perjalanan untuk hari esok yang pastinya akan mencabar minda dan fizikal kami.



Seawal jam 9.00 pagi kami telah memulakan perjalanan melintasi Kem Agas , Puncak Beyor dan Kem Chandrik yang airnya sangat jernih dan kem sitenya sangat cantik .Kami berhenti sebentar di Kem Retak untuk menyimpan bekalan untuk hari ke 5 dimana kami akan berpatah balik ke kem ini untuk meneruskan perjalanan kami ke Gunung Ulu Sepat . Setibanya kami di Kem site kedua iaitu Kem Anak Peres ,para peserta mula mendirikan khemah masing-masing.Mereka mengambil peluang untuk mandi-manda di sungai berhampiran sementara urusetia sibuk menyediakan makan malam. Malam itu setelah makan kami tidur dengan nyenyaknya.



Sejurus selepas beberapa minit meneruskan perjalanan di hari yang ke 3 , kami ternampak kesan tapak kaki Sang Belang dan Mawas serta kesan tapak kaki Kijang yang masih baru sesangat .Kami dinasihatkan supaya berjalan rapat-rapat didalam satu kumpulan. Kami tiba di Kem Sungai Rekom dimana disitu terdapat pekerja balak membuat khemah mereka . Tepat pukul 4½ petang kami pun tiba di Kem Tongkat Ali dengan selamatnya setelah ditimpa hujan yang lebat dan beberapa orang peserta yang disengat tebuan . Masih terdapat saki-baki anak-anak herba Tongkat Ali disitu.



Hari ke 4 adalah hari kemuncak bagi kami kerana kami telah berniat untuk bermalam di puncak Gunung Chamah yang setinggi 7112 kaki. Niat kami tercapai juga akhirnya apabila tepat jam 3.20 petang kami tiba dipuncak Chamah dengan beberapa peristiwa yang tidak dapat kami lupakan . Sebelum tiba di puncak Chamah kami terpaksa melalui 8 puncak anak Chamah yang perjalanannya amatlah menyeksakan.. Ada satu ketika peserta-peserta sudah merasa agak bosan dengan treknya yang turun-naik. Disini sekali lagi kami diserang tebuan tanah , para peserta yang pada mulanya sudah kepenatan, berlari sekuat hati mereka menaiki setiap puncak yang ada sehingga terlupa akan kepenatan tadi . Kerana peristiwa dikejar tebuan tanah itu jugalah kami cepat sampai ke puncak Chamah. Kami mengambil kesempatan ini untuk merakamkam gambar beramai-ramai sebagai kenangan .Puncak Chamah adalah salah satu puncak yang tercantik dan terbersih sekali jika dibandingkan dengan puncak-puncak lain. Permandangan waktu matahari terbit dan terbenamnya matahari sungguh mengkagumkan . Kami dapat melihat matahari terbenam pada petang itu serta keesokan harinya pula menyaksikan terbitnya matahari pada sebelah timur .Dari sini juga kami dapat melihat puncak Ulu Sepat dan puncak Noreng serta puncak Anak Reng sebelah Gua Musang / Jeli di Kelantan.


Seawal jam 5.00 pagi lagi alarm berbunyi dari telefon bimbit Abang Rashid memecah kesunyian pagi. Namun begitu kami berasa amat segar sekali kerana malam tadi kami tidur seawal jam 9 malam.Setelah bersarapan , kami meneruskan perjalanan turun .Perasaan puas dan sedih silih berganti di hati kami namun kami harus meneruskan perjalanan untuk meyahut cabaran gunung ke 2 iaitu Gunung Ulu Sepat yang ketinggiannya 7089 kaki. Kami melalui balik jalan-jalan yang telah kami tempuhi sewaktu mendaki gunung Chamah sehinggalah kami tiba di Kem Maggi. Kami bermalam disini kerana tidak jauh dari air sedangkan Kem Retak dimana kami tinggalkan bekalan kami tempoh hari hanyalah 1 jam perjalanan dari Kem Maggi ini. Malam itu hujan turun dengan lebatnya. Gigitan agas tidak dapat kami elakkan lagi akhirnya kami tidur dalam kesejukan hingga ke pagi .


Hari ke 6 kami bersarapan Bee Hoon Sup special yang dimasak oleh kak Aishah dan Fazid. Setibanya di Kem Retak kami mengagih-agihkan kembali rations yang ditinggalkan pada hari kedua .Perjalanan hari ke 6 ini akan terus melalui permatang yang treknya penuh dengan kesan tapak kaki gajah. Masing-masing mengeluh kerana apabila berjalan di tengah , kasut terlekat di trek yang penuh selut dan apabila berjalan di tepi penuh dengan onak dan duri. Akhirnya kami tiba dipunca air terakhir iaitu di Kem Sungai Leper .Dari sini kami terpaksa memikul air sebanyak mungkin kerana dipuncak Ulu Sepat tidak mempunyai punca air. Akhirnya kami tiba di puncak gunung Ulu Sepat lebih kurang jam 6.30 petang dengan selamatnya. Malam itu sungguh meriah kerana kami berjaya mendaki kedua-dua gunung tersebut dengan tidak menghadapi sebarang masalah besar. Selepas makan malam kami meluangkan sedikit masa untuk menceritakan pengalaman masing-masing selama ekspedisi mendaki kedua-dua gunung ini. Masing-masing terlalu gembira kerana esoknya adalah hari terakhir trekking dan ini juga bermakna bahawa ekspedisi kami sudah sampai kepenghujungnya

Hari ke 7 ini kami kesemuanya bangun agak lewat mengenangkan perjalanan kami hari ini adalah menurun sahaja. Kami bergambar beramai-ramai dan ada yang bergambar kerana meraikan habisnya pendakian ketujuh-tujuh puncak disemenanjung Malaysia yang mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki (G7 ) Mereka terdiri daripada Adenan , Kak Aishah , Abang Osman Proton , Mohd Faiz (K'rek) , Bulat dan Abang Rashid buat kali ke 2. Kami turun agak lewat pada hari ke tujuh ini.Kami melalui beberapa batang anak sungai yang deras airnya .Kami tiba di hujung kampung lebih kurang jam 6 petang .Setelah puas menunggu akhirnya Kubota yang kami tunggu sampai juga setelah dipanggil oleh guide Si Jali. Setelah tiba di pejabat Felcra, peserta semuanya menyerbu ke kedai kopi berhampiran untuk memesan minuman berkarbonet yang telah seminggu mereka idamkan.Dikedai ini juga terdapat TV dan Karaoke setnya sekali disitu.Kami tidur agak lewat malam itu ,berbincang dan menceritakan pengalaman masing-masing hingga ke subuh.

Keesokan harinya kami menaiki 4 wheel ke Jeti Khemar.Kami berpatah balik apabila menyedari salah seorang peserta telah tertinggal . Setelah mengambil beliau kami menaiki bot dan seterusnya ke pekan Gerik . Kami ke Bandaraya Ipoh untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur jam 6.00 petang dan kami tiba di Kuala Lumpur jam 9.30 malam.



Chamah - Ulu Sepat meninggalkan seribu kenangan pahit-manis. Di ekspedisi ini jugalah kami dapat mengenali diri kami dan juga kawan-kawan yang sentiasa menghulurkan bantuan ketika susah dan senang.



Sekian untuk kali ini.

Siapa tak pergi pasti menyesal...

0 comments:

Post a Comment