logo
Gambar-gambar kemeriahan XPDC Trans Titi Selatan

Logo OGKL

Logo OGKL

Saturday, 5 January 2013

L01: Gunung Chabang


Gunung Chabang
Tarikh: 24 - 26/1/2001
Tempat: Simpang Pulai, Perak



Pada cuti tahun baru cina yang lepas, seramai 16 orang pendaki dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) telah berjaya mendaki Puncak Gunung Cabang ini terletak di Pos Slim, Simpang Pulai, Perak Darul Ridzuan.

Kami telah memulakan XPDC ini pada 23 Jan 2001. Kesemua pendaki berkumpul di Hentian Jejantas R&R Sungai Buluh sebelum berlepas ke Hentian R&R Tapah. Setelah semuanya berkumpul kami telah mengagih-agihkan ration kepada peserta.Kami berlepas dengan menaiki 4 buah kenderaan yang di pandu oleh Abg. Rashid, Jaafar, Johari dan Nita. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 1.30 pagi kami tiba di R&R Tapah. Di sini masing-masing mencari tempat untuk melelapkan mata sebelum menyambung semula perjalanan pada esok hari.

Pada keesokkan harinya 24.01.01, kami telah menyambung semula perjalanan dari Hentian R & R Tapah ke Pos Slim. Kami berlepas dari Hentian Tapah ini lebih kurang jam 7.30 pagi setelah semua peserta siap mandi, menunaikan solat dan bersarapan pagi. Setelah 1 jam menyambung perjalanan akhirnya kami sampai di Pos Slim, iaitu sebuah perkampungan orang asli.

Ekspedisi kali ini berbeza daripada ekspedisi sebelumnya kerana pada kali ini ketua ekspedisi diketuai oleh seorang wanita iaitu Kak Aishah. Sebelum memulakan perjalanan Kak Aishah telah memberi serba sedikit taklimat mengenai perjalanan dan mengingatkan tentang bahaya yang ada semasa pendakian. Setelah melakukan sedikit warm-up di ketuai oleh Fazid dan bacaan doa selamat oleh Abg. Rashid.En Jaafar selaku pemandu arah kami telah mendahului perjalanan.

Pada awal permulaan trekking kami terpaksa melalui trek yang sangat curam. Peserta terpaksa berjalan perlahan-lahan serta mengawal penafasan mereka. Setelah hampir 2 jam melalui trek ini, terdapat beberapa peserta wanita mula mengeluh kerana trek kali ini begitu mencabar. Walaupun ada di antara mereka yang hampir kepewaian dan tidak larat untuk meneruskan pendakian tetapi diatas dorongan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan moral, mereka teruskanlah juga pendakian dengan semangat yang harus diberikan pujian. Kami berehat untuk menikmati makan tengahari di sebatang sungai. Menu kami pada tengahari ini ialah sandiwich tuna dan air teh ‘0’ panas yang di sediakan oleh Kak Aishah dan Abg Rashid. Lebih kurang jam 12.30 tengahari semua peserta pun bersiap untuk meneruskan perjalanan setelah 1 jam berehat di sungai. 

En Jaafar iaitu pemandu arah kami telah memberitahu kepada semua peserta bahawa trek selepas ini akan lebih mencabar dan ini membuatkan semua peserta membayangkan cabaran yang bakal di tempohi nanti. Keadaan trek pada kali ini sungguh berbeza dari tahun 1999, trek balak yang sudah mengecil dengan ditumbuhi lalang-lalang dan beberapa pokok yang tumbang telah memaksa kami menebas dan memotong pokok yang menghalang laluan, dan ini telah mengurangkan sedikit kelancaran perjalanan kami. 

Lebih kurang jam 4.30 petang kami sampai di punca air yang terakhir dan di sini kami diingatkan untuk memenuhkan dua botol air 1.5 liter setiap seorang untuk kegunaan di atas puncak, sambil mengambil air para pendaki juga tidak melepaskan peluang untuk berehat sebentar dan memakan kudapan sebelum meneruskan perjalanan. 


Setelah semuanya selesai, kami pun menyambungkan semula perjalanan untuk ke Puncak Botak. Semasa pendakian ke Puncak Botak , beberapa peserta telah menampakkan keletihan dan kepewaian dan akhirnya kami pun tiba di Puncak Botak lebih kurang jam 6.00 petang. Puncak Botak merupakan campsite kami kerana pemandangan yang cantik dapat di lihat di sini berbanding di atas Puncak Chabang. 

Kami dapat melihat puncak gunung Brinchang , Irau , Korbu Gayong dan puncak Yong Belar. Semua peserta mengambil tugas masing-masing untuk mendirikan khemah dan fly sheet untuk bermalam di sini. Pada malam ini kami di sajikan makan malam yang menyelerakan iaitu kari ayam, telur dadar, sayur campur dan papadom yang di masak oleh Kak Aishah. Menikmati makan malam yang sungguh menyelerakan ini sedikit sebanyak dapat melupakan kepayahan dan kepenatan ketika mendaki. 

Selepas makan, sessi suai kenal di adakan untuk mengenali lebih rapat lagi mengenai latararbelakang dan juga untuk mengeratkan tali silaturrahim peserta sebelum kami masuk tidur lebih kurang jam 10.30 malam. 

Keesokkannya semua peserta dikejutkan seawal 7.00 pagi supaya mereka dapat mengemaskan barang sebelum kami menyambungkan perjalanan (free hand) ke Puncak Gunung Chabang. Sebelum itu kami bersarapan pagi dahulu dan menu kami pada pagi ini ialah Nasi Goreng Kampung dan Teh Tarik yang amat menyelerakan. 



Setelah selesai bersarapan, semua peserta pun meneruskan perjalanan dan kami tiba di atas puncak lebih kurang pukul 10.30 pagi. Pada eskspedisi kali ini semua peserta dikehendaki memakai baju tradisional iaitu baju kurung bagi peserta wanita dan baju melayu bagi peserta lelaki kerana pada kali ini semua peserta OGKL menyambut Hari Raya Aidilfitri yang terakhir di atas Puncak Gunung Chabang. Selain memakai baju tradisional kami juga ada membawa sedikit Lemang, Ketupat Daun Palas,Serunding Daging dan Kuih Raya untuk memeriahkan lagi suasana berhari raya di atas puncak . Kami juga sempat mengambil gambar dan berposing maut dengan pakaian tradisional kami. 

Setelah selesai semuanya kami pun terpaksa meninggalkan puncak untuk memulakan perjalanan turun ke Puncak Botak. Lebih kurang jam 12.30 tengahari semua peserta pun memulakan perjalanan turun dan kami semua akan berkumpul di tepi sungai untuk makan tengahari. 

Setelah makan tengahari iaitu mee maggi dan kopi ‘O’ panas kami pun meneruskan perjalanan dan kami sampai di Pos Slim pada pukul 4.30 petang. Setelah mandi dan melapurkan kepulangan kami ke balai polis , kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Berhenti makan di R&R Tapah dan kami tiba di Kuala Lumpur pada pukul 11.00 malam.


Sekian Buat kali ini.
Semuga bersama lagi di lain ekspedisi bersama dengan OGKL.


PANTUN 4 KERAT

XPDC DIKETUAI OLEH KAK ESAH
PERGI PERAK NAIK KERETA
INGAT DIHATI TIDAKLAH SUSAH
KETIKA MENDAKI BARU KU TAHU DERITA

Catitan perjalanan oleh AZHARI AHMAD (BULLET) 

1 comments:

  1. MADNESS ADVENTURE (FB/IG)
    MOUNT GUIDE SERVICES
    -forestry permit
    -police report
    -nature guide
    -emergency kit (basic)
    -walkie talkie


    012-4281994 alif
    011-10327474 anas
    Call/whataps/sms
    Madness.adv@gmail.com

    ReplyDelete