logo
Gambar-gambar kemeriahan XPDC Trans Titi Selatan

Logo OGKL

Logo OGKL

Friday, 8 March 2013

L03: Tragedi Gunung Liang



Tarikh: 18 - 19 April 2003
Tempat: Tanjung Malim, Perak

Jam 10 malam, rata-rata semua peserta telah pun berkumpul di hadapan Restoran Teratai di Bangunan Dayabumi Kuala Lumpur. Sementara menunggu ketibaan saudari Fazidah dan saudara Fahmi, kami diberi taklimat mengenai ekspedisi kali ini oleh Abang Rashid selaku ketua ekspedisi menggantikan saudara Fakrul Anuar yang tidak dapat mengikuti kami pada kali ini.

Tepat jam 11.05 malam kami menuju ke Tanjung Malim dan berjanji akan menunggu Fazid dan Fahmi selepas tol Tanjung Malim. Kami di jadualkan untuk berkumpul di salah sebuah restoran di Tanjung Malim kerana menantikan dua orang peserta dari Ipoh iaitu Sdr. Shahir dan Sdr. Roslan.

Setiba kami di Tanjung Malim sekitar jam 12 malam, kami terus mencari Restoran Nasi Kandar Pulau Pinang 24 jam seperti yang telah di aturkan. Di situ, sdr Shahir, sdr Roslan dan Abg Sham telah pun lama menunggu. Terpaksalah abg Rashid menjelaskan kepada mereka kenapa kami lewat tiba. Ini kerana kami terpaksa menunggu Fazid dan Fahmi yang terpaksa menyelesaikan urusan keluarga sebelum dapat bertolak ke Tanjung Malim.

Oleh kerana masa masih awal, kami mengambil keputusan untuk menjamu selera di restoran sebelum meneruskan perjalanan. Hampir 45 minit kami berhenti sambil menikmati roti canai. Jam 12.45 kami bertolak ke rumah abg Sham yang terletak lebih kurang 2 km dari pekan Tanjung Malim. Abg Sham telah bermurah hati untuk membenarkan kami bermalam di rumahnya pada malam itu. Kalau tidak terpaksa kami mencari surau atau wakaf untuk melelapkan mata. Terima kasih kami ucapkan kepada Abg Sham dan isteri.

Para peserta di nasihatkan untuk mendapat tidur yang secukupnya pada malam itu kerana pendakian pada esok harinya agak mencabar. Sekiranya tidak mendapat tidur yang cukup dikhuatiri peserta akan kepenatan sebelum sampai ke camp site. Atas nasihat Abg Rashid, selaku ketua ekspedisi, lampu telah dipadamkan jam 2.00 pagi supaya tidak ada peserta yang tidak tidur pada malam itu.

19th April 2003

Pagi itu, kami dikejutkan oleh bunyi jam dinding di ruang tamu menunjukan pukul 6.00 pagi. Suasana rumah abg Sham menjadi sibuk kerana masing masing bergegas untuk menunaikan solat subuh. Seperti biasa pihak urus setia sibuk di bahagian dapur menyediakan sarapan pagi yang akan dihidangkan jam 7.00 pagi.

Nasi putih dan rendang daging merupakan menu sarapan pagi kami disamping air teh “o”. Rata-rata peserta memuji sarapan kali ini sungguh enak. Selepas makan kami bersiap untuk menyambung perjalanan ke Behrang Ulu dimana kami akan memulakan pendakian ke Gunung Liang. 8.15 pagi kami bertolak dari rumah abg Sham menuju ke Kg Sungai Dua, Behrang Ulu.

Dalam perjalanan kami telah melepasi Proton City yang terletak lebih kurang 3 km dari rumah Abg Sham. Proton City merupakan sebuah Bandar yang diwujubkan khas untuk Proton melahirkan kereta-kereta buatan Malaysia di masa akan datang. Ianya di jangka mula beroperasi pada Jun 2003.

Setelah hampir setengah jam, kami tiba di Kg Sungai Dara yang terletak lebih kurang 5km dari simpang Behrang Ulu/ Kg Slim. Disini kami terpaksa melalui jalan kampung yang agak kecil tetapi berturap. Jalan ini membawa kami melalui kebun-kebun durian orang kampong tersebut sebelum sampai di Rumah Pam Kg Sungai Dara.

Jam 8.50 pagi kami tiba di rumah pam tersebut. Setelah meletak kereta dan van di tempat yang sesuai kami mula bersiap untuk memulakan ekspedisi. Abr Sham juga ada bersama kami tetapi beliau tidak akan menyertai kami ke puncak hanya sekadar menghantar kami di Ampangan Sg Dara.

Sedang kami bersiap-siap untuk memulakan tracking, beberapa buah kereta dan van telah sampai di rumah pam tersebut menandakan bahawa sebuah lagi kumpulan akan melakukan ekspedisi ke gunung liang pada masa yang sama. Kumpulan yang seramai 30 orang itu juga dijadualkan akan ke camp site di mana kami akan bermalam pada malam nanti. Memandangkan kawasan camp site itu agak kecil, tanpa membuang masa kami meneruskan perjalanan kerana ingin merebut kawasan yang sesuai.

9.10 pagi kumpulan pertama memulakan perjalanan di ikuti oleh peserta-peserta lain. Kali ini Abg Rashid selaku ketua ekspedisi telah diamanahkan untuk menjadi “ Lead Guide” dan Fahmi di tugaskan sebagai “Last man” atau “ sweaper”. Kami sampai di Ampangan Sungai Dara setelah 20 minit berjalan. Tiba-tiba Salah seorang peserta, Hans, datang berlari kearah kami sambil menjerit ‘”Abg Rashid ! ada pokok tumbang, kena orang…. CEDERA!”

Kami bergegas ke tempat kejadian. Di situ tedapat sebatang pokok sebesar dua pemeluk merintangi jalan dan disebelahnya Fahmi terbaring tidak bergerak. Mukanya agak pucat menahan kesakitan. Setelah di periksa, Fahmi telah mengalami patah kaki semasa mengelak dari pokok yang tumbang itu. Beliau juga mengadu bahunya sakit dan tidak dapat digerakkan.

Cikgu telah mengarahkan supaya kami menbalut kaki Fahmi yang patah dan meletakkan kayu kecil sebagai alas supaya kecederaan tidak bertambah teruk. Kak Zaleha mengeluarkan skaf dari beg beliau untuk di jadikan anduh untuk mengikat bahu Fahmi yang mengalami kecederaan.

Abg Sham yang masih mengikuti kami telah berlari untuk mendapatkan kereta beliau. Setelah Abg Sham sampai di lokasi kemalangan, kami mengangkat Fahmi ke kereta untuk di hantar ke yang terdekat iaitu hospital Slim River. Fazidah mangambil keputusan untuk mengikut Abg Sham dan Fahmi ke hospital.

Persoalanannya sekarang adakah kami akan meneruskan perjalanan ke puncak Liang atau membatalakan sahaja ekspedisi kami. Ada beberapa peserta mencadangkan agar kami membatalkan saja ekspidesi kali ini memandangkan terdapat petanda yang kurang elok di awal pendakian.

Setelah bermesyuarat , pihak urus setia telah mengambil keputusan untuk menangguhkan ekspedisi kali ini ke satu masa yang tidak di tentukan lagi. Kami berpatah balik ke tempat letak kereta dan bersiap untuk ke Hospital Slim River untuk mengikuti perkembangan Fahmi di sana.

Kami sampai di hospital lebih kurang 11 pagi. Fahmi telah pun berada di dalam bilik kecemasan. Menurut Fazid, doctor terpaksa melakukan X-ray untuk menentukan kecederaan kaki Fahmi dan seterusnya menentukan rawatan untuk kaki tersebut.

Setelah hampir dua jam menunggu, kami masih belum dapat sebarang keputusan dari doctor. Oleh kerana terlalu lama kami mengambil keputusan untuk berehat di surau hospital. Hampir kesemua peserta telah berkampung di surau hospital. Ada yang mengambil kesempatan untuk mandi kerana surau tersebut dilengkapi dengan kemudahan bilik air yang lengkap.

Hospital Slim River merupakan hospital yang agak baru. Ianya dibina di tengah-tengah kawasan kampong slim yang terletak lebih kurang 1 km dari pekan Slim River. Penulis difahamkan walaupun agak besar dan canggih tetapi hospital tersebut mengalami kekurangan pesakit kerana populasi Slim River dan Tanjung Malim masih terlalu kecil. Mungkin hospital itu dibina untuk menampung populasi Proton City yang akan mula beroperasi pada Jun 2003.

Sepanjang tempoh menunggu hanya dua orang dibenarkan melawat Fahmi dalam satu masa. Jadi kami bergilir-gilir menemani Fahmi yang kelihatan agak sedih mengenangkan kejadian yang menimpanya. Kami sedaya upaya cuba menghiburkan beliau dan cuba menyakinkan belaiu yang kecederaannya tidak lah terlalu serius.

Jam 3.30 petang, kami telah dipanggil oleh doctor yang merawat Fahmi. Menurut doctor, Fahmi terpaksa menjalani pembedahan untuk membetulkan semula buku lalinya yang tercabut (Dislocated) Sebatang besi terpaksa dimasukkan untuk menyokong tulang yang patah. Akan tetapi pembedahan itu tidak dapat dilakukan di hospital berkenan dan pihak hospital akan menghantar Fahmi ke Hospital Besar Ipoh.

Setalah berbincang dengan Fahmi, beliau mengambil keputusan untuk “refer” ke Subang Jaya Medical Center di Kualal Lumpur supaya senang keluarga Fahmi untuk menjaganya. Setelah Kak Leha mengadakan perbincangan dengan doctor bertugas, doctor telah bersetuju dengan cadangan kami. Tetapi kami tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan ambulan kerana terlalu jauh. Kami terpaksa membawanya sendiri.

Setelah berbincang, kami bersetuju untuk menggunakan van abg Rashid sebagai kereta ambulan dan beberapa peserta terpaksa berhimpit di dalam van cikgu dan tiga buah kereta. Beg- beg kami terpaksalah di sumbat di dalam kereta-kereta dan van kerana memberi laluan kepada Fahmi yang memerlukan ruang yang agak luas di dalam van abg Rashid.

Kami bertolak dari Hospital Slim River jam 5.30 petang.Setelah menurunkan Sdr Shahir dan sdr Roslan di pekan Slim River untuk mengambil bus pulang ke Ipoh, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan kelajuan yang agak perlahan.

Kami sampai di SJMC jam 7.30 malam. Sekali lagi Fahmi terpaksa menjalani pemeriksaan kerana doctor di SJMC tidak mahu mengguna pakai laporan yang kami bawa dari doctor di hospital Slim River. Maka Fahmi terpaksa menjalani X-ray sekali lagi. Terpaksalah kami menunggu lagi.

Di sini abg Rashid telah mengumumkan ekspedisi gunung liang terpaksa ditamatkan di sini, di SJMC. Pihak OGKL berjanji akan mengadakan semula ekspedisi tersebut di lain masa. Abg Rashid mengucapakan berbanyak terima kasih atas semua peserta kerana bersama-sama menolong Fahmi. Kami bersurai yang 8.00 malam itu.

Oleh kerana mahu memastikan Fahmi betul-betul selamat, saya masih menunggu di hospital bersama-sama Abg Rashid, Adnan, Fazid, Kak Leha dan beberapa peserta lain. Jam 10 malam barulah Fahmi siap menjalani pemeriksaan dan akan dihantar ke wad. Beliau dijadualkan akan menjalani perbedahan kakinya jam 12 malam itu juga. Setelah menghantar Fahmi ke wad, saya bergerak pulang ke rumah.

Sekian semoga kejadian yang menimpa ahli OGKL tidak akan melemahkan semangat kita untuk meneruskan aktiviti kita di lain masa.


0 comments:

Post a Comment