logo
Gambar-gambar kemeriahan XPDC Trans Titi Selatan

Logo OGKL

Logo OGKL

Thursday, 20 June 2013

L06: Trans G.Gerah - G.Bieh

Trans G. Gerah - G. Bieh

‘ALAH BISA, TEGAR BIASA’…Ungkapan ini sudah sebati dalam diri semua pendaki dan kepada semua peminat aktiviti rekreasi ini.Ianya menjadi satu semangat yang kuat untuk mereka merealisasikan matlamat sesuatu ekspedisi. Itulah yang di pegang oleh pendaki tegar yang menyahut cabaran mendaki Gunung Gerah (6,898 kaki) dan Gunung Bieh (6,800 kaki) pada 28 Januari hingga 3 Febuari 2006 lalu yang dianjurkan oleh kelab rekreasi yang dikenali ramai iaitu Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur. Seramai 11 orang peserta telah mengikuti pendakian pada kali ini 10 orang dari Kuala Lumpur dan seorang dari Penang. Berikut adalah catatan perjalanan ekspedisi yang kami jalankan :-

27 Januari 2006 :

Kami dimaklumkan oleh penganjur, peserta hendaklah berkumpul di tingkat 2, Stesen KLSentral jam 9.00 malam. Lantas, tanpa membuang masa saya terus melangkah keluar menuju ke tempat yang dijanjikan. Dari jauh sudah kelihatan beberapa orang peserta dan beberapa orang ahli kelab yang datang untuk memberi semangat kepada peserta pendakian.Terdapat juga beberapa buah kelab rekreasi yang turut berada di KLSentral ini kerana mereka juga mempunyai program pada tarikh yang sama. 

Jam di tangan menunjukkan pukul 10.00 malam. Kami mula meninggalkan KLSentral dan kawan-kawan menuju ke Stesen keretapi Sungai Siput kerana mengambil saudara Zaidi yang datang dari Penang. Perjalanan menaiki van yang di pandu sendiri oleh ketua kelab iaitu saudara Zainuddin (deeno) ini agak perlahan kerana tarikh perjalanan kami ini kebetulan hampir dengan perayaan tahun baru cina, jadi kenderaan penuh sesak sepanjang lebuhraya utara/selatan. Kami berhenti berehat seketika di perhentian RNR Ladang Bikam. Setelah selesai kami teruskan perjalanan ke stesen keretapi Sg.Siput. Perak

28 Januari 2006 :

Jam 2.30 pagi, kami selamat tiba di stesen keretapi dan kelihatan saudara Zaidi sudah lama menunggu. Ada juga beberapa pendaki yang masih menunggu pengangkutan untuk membawa mereka ke lokasi pendakian. Tanpa melengahkan masa, kami meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya iaitu Pekan Lasah, di mana kami akan bertukar pengangkutan untuk masuk ke perkampungan orang asli Kampung Lerlar. Setibanya di Lasah, kami terus bersiap, mengagihkan peralatan perkhemahan yang di bawa. 

Setengah jam kemudian, pemandu 4WD yang dikenali sebagai Ah Hi tiba untuk membawa kami ke Kampong Lerlar. Selesai urusan pembayaran dengan pemilik 4WD ini, kami terus di bawa masuk ke kampong Lerlar. Pukul 4.30 pagi, kami mula bergerak ke kampong Lerlar. Awal perjalanan, kami sudah rasakan cabarannya, empat jam perjalanan menaiki kenderaan ini membuatkan kami agak bosan. Melayan laluan berbukit, merentas sungai membuatkan kami hampir loya.Tetapi ini adalah satu cabaran untuk mereka yang belum pernah merasai keadaan ini.Sejuknya hingga ke tulang.

Jam 8.30 pagi, kami tiba di Kampung Lerlar.Sementara itu pengarah ekspedisi iaitu saudara Hadzrey (arey) pergi mendapatkan jurupandu orang asli peserta yang lain terus menyiapkan kelengkapan untuk memulakan perjalanan. Berita malang yang kami terima, jurupandu yang dikatakan akan membawa kami ke tempat dijanjikan tidak ada di sini. Lantas Arey mengarahkan kami bersiap dan membuat sedikit senaman ringkas. Plan kedua terpaksa digunakan dengan mengambil jurupandu dari Kampong Agik yang dikenali sebagai Pak Uda. Tapi kata Arey, “ini nasib..Kalau ada orangnya,adalah….kalau tak,kita naik sendiri”. 

Kami mula bergerak ke kampong Agik pada jam 9.30 pagi. Pada amatan saya, kami perlu merentas sebuah bukit sahaja,tetapi jangkaan saya tersasar jauh. Selesai merentas satu bukit,kami menyeberangi sungai yang agak besar dan deras.Perjalanan diteruskan lagi, kami makin pelik kenapa kami belum tiba di kampong Agik. Rupa-rupanya,kampong ini terletak betul-betul di dalam kawasan hutan. Tepuk dahi dibuatnya mendengar penerangan dari saudara Rafaie (paie) yang juga merangkap sebagai pembantu program ini. Hendak ataupun tidak,perjalanan harus diteruskan. 

Kami berhenti makan tengahari di Kem Lebah. Selasai makan dan solat kami meneruskan perjalanan ke simpang kampong Agik.Perjalanan ke simpang ini agak santai kerana treknya tidak begitu susah.Tiba saja di tempat tersebut,Paie memberitahu saya,satu jalan lagi adalah laluan bagi pendaki yang selesai mendaki dari Gunung Ulu Sepat. Langkah diteruskan ke destinasi seterusnya.Tercungap juga dibuatnya melayan laluan mendaki ke Bukit Panorama.

Sepanjang perjalanan, kami ditemani oleh nyamuk hutan dan agas yang mendiami kawasan hutan ini. Jam 7.00 malam,kami tiba di bukit Panorama ini. Pada ketinggian 4040 kaki dari paras laut ini kelihatan Gunung Ulu Sepat tetapi tidak pasti dari arah hadapan atau belakang. Kami melepasi waktu maghrib dan mula bergerak pada jam 7.40 malam.Empat peserta telah sampai seawal 7.00 malam kerana ditugaskan untuk menyediakan kawasan perkhemahan.

Kali ini kami terpaksa melayani trek menurun dalam keadaan gelap dan berbekalkan lampu suluh. Kami di sambut oleh Paie lalu di bawa ke kawasan perkhemahan. Belum terfikir untuk berehat kami di arah menyeberangi 2 sungai dengan meniti laluan kayu balak tumbang. Tercabar rasanya kerana kegelapan malam.Tetapi,ianya perlu diteruskan.Tiba di kawasan perkhemahan, kami terus dijamukan dengan makan malam dan diarahkan tidor seawal yang mungkin.

29 Januari 2006

Seawal 6.30 pagi kami telah dikejutkan dari lena mimpi malam. Sarapan disediakan oleh Paie & Fahmi. Dalam kelekaan peserta mengemas peralatan & kawasan kemah, saya terpandang 1 orang lelaki orang asli yang datang dari arah bukit dalam samar-samar lalang yang tinggi. Inikan Pak Uda dalam benak hati saya berkata. Arey menyapa lelaki berkenaan. Memang benar, ini adala jurupandu kami iaitu Pak Uda. 

Kami diarahkan segera bersiap dan menuju ke hadapan rumah Pak Uda. Kami melakukan senaman ringan sementara menunggu Pak Uda pula bersiap. Sempat juga kami bergambar kenangan di hadapan rumah buluh yang hanya tinggal 2 buah sahaja di kampong Agik. Menurut carita Pak Uda, kesemua penduduk Kampung Agik telah berpindah ke kampong yang telah dirancangkan oleh kerajaan. Selesai penerangan ringkas oleh ketua program, kami memulakan perjalanan seterusnya iaitu Kem Sarsi dengan menyusuri kebun ubi gajah yang menjadi sumber makanan harian masyarakat orang asli selain dari hasil sungai dan tumbuhan lain dari hutan. 

Perjalanan agak laju kerana trek yang landai. Lebih kurang 1 jam kami menyusuri Sungai Agik. Kami di beritahu perjalanan selepas ini agak mencanak. Kami meneruskan perjalanan dengan melayani bukit bukau, sungai untuk sampai ke kem ini. Sekali lagi kami tiba lewat di kawasan perkhemahan. Syukur,tepat jam 10.00 malam kami tiba di kem Sarsi. Makan malam telah tersedia. Selesai makan kami diarahkan berehat dan tidur seawal mungkin. Kepenatan membuatkan kami terlena dengan pantas.

30 Januari 2006

Seperti hari yang lepas, 6.30 pagi adalah masa yang telah disetkan untuk kami bangun dan berkemas. Kami sempat berborak dengan Pak Uda, katanya “ hari ni, hari jadi yek…” . Kami mengucapkan selamat hari lahir kepada Pak Uda tetapi tidak pasti yang ke berapa tahun. Selesai sarapan pagi kami mula bergerak jam 10.00 pagi meneruskan perjalanan ke Puncak Gunung Gerah. Sajian pertama perjalanan kami ialah Bukit Good Morning. Belum sempat panas badan kami,peluh membasahi baju kerana kami diarahkan berjalan ke kawasan berlumut (pematang) tanpa henti. 1 jam lebih perjalanan, kami tiba di permatang. 

Melihat lumut-lumut hijau membuatkan kami hilang penat dan terus melangkahkan perjalanan menyusuri laluan yang memukau pandangan. Kami berehat betul-betul di tengah permatang untuk makan tengahari, agak lama juga kami berehat kerana kami di jangka sampai ke puncak sebelum matahari terbenam. Indah ciptaan tuhan. Terpukau dengan kejadian yang dijadikan olehNya. Sedang mata melayan lumut-lumut hijau, kami terdengar jeritan rakan kami yang telah sampai ke Puncak Gunung Gerah. Dalam hati berkata tidak jauh lagi perjalanan kami. Langkah di hayun sepantas mungkin. 

Sungguh menakjubkan, kelihatan deretan pelbagai spesis Periuk Kera yang tersidai di dahan-dahan pokok. Makin lama perjalanan, kami tiba di kawasan pohon renek(bonsai).Makin jelas suara rakan di puncak berborak tentang perjalanan hari ini. Kami selamat tiba ke puncak jam 5.00 petang.Belum sempat berehat, mata terpandang sesuatu yang menarik. Sebiji periuk kera berukuran saiz lengan manusia. Besar sungguh!!!.sebagai peminat tumbuhan ini, saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar tumbuhan ini sebagai koleksi periuk kera yang pernah saya jumpa. 

Terdapat beirut dan batu sempadan yang memisahkan 3 buah negeri iaitu Perak, Kelantan dan Pahang. Terpukau mata memandang. Kelihatan Gunung yang sering di daki oleh pendaki iaitu gunung disekitar banjaran Titiwangsa, Gunung Chamah & Ulu Sepat. Ini adalah di antara gunung yang mencapai ketinggian lebih dari 7000 kaki selain Gunung Tahan. Dalam mata dijamahkan dengan pemandangan yang indah, kami di kejutkan dengan kehadiran sahabat pendaki dari kumpulan lain yang baru sahaja tiba ke puncak gunung ini. 

Malam yang agak sejuk tidak memaksa kami untuk menyediakan santapan yang enak. Nasi putih, ayam masak merah bersama Nescafe panas menjadi pengalas perut untuk malam ini. Selesai makan, kami teruskan agenda dalam jadual ekspedisi. Sesi suaikenal ini mengeratkan lagi hubungan antara kami. Jelas terpancar kegembiraan di wajah semua peserta. Gelak tawa di sulam dengan tiupan angin yang sejuk membuatkan kami agak lewat tidur. Selesai semuanya, kami diarahkan tidur dan bersedia untuk perjalanan esok. Suhu 14.5 darjah dari ketinggian 6,898 kaki dari paras laut ini membuatkan kami tidak tidur lena.

31 Januari 2006

Dalam kesejukan pagi, kami di paksa bangun untuk persiapan ke destinasi seterusnya iaitu Gunung Bieh. Selesai sarapan pagi, kami bergambar kenangan di Puncak Gerah. Selasai semuanya, kami mulakan perjalanan ke puncak Gunung Bieh.

Setengah jam perjalanan, kami diberitahu untuk meninggalkan beg yang kami galas pada satu tempat dan berjalan dengan berbekalkan air dan makan ringan untuk ke Gunung Bieh. Kalau mengikut sahabat kami yang telah sampai ke gunung ini pada tahun 1998 lalu, 3 jam masa perjalanan diperlukan untuk ke Gunung Bieh. Tetapi, jangkaan kami meleset kerana kami terpaksa menambah 1 jam lagi bagi operasi pembersihan trek yang semak. 4 jam dalam trek, kami tiba di Gunung Bieh. Tetapi tidak ada Beirut, Cuma batu sempadan sahaja. Kawasan puncak gunung Bieh ini seakan-akan sama dengan Puncak Gunung Liang Timur di Tanjung Malim, Perak.

Selesai bergambar, kami bergegas ke tempat beg galas kami ditinggalkan. Tanpa membuang masa kami ke lokasi seterusnya iaitu Kem Ubat Nyamuk. Deruan air Sungai Gerahmemecah kesunyian petang. Seawal jam 5.30 petang kami tiba di kem ini. Spesis nyamuk hutan yang banyak menyambut kehadiran kami di kem ini. Bantuan kepakaran Pak Uda untuk menghidupkan api diperlukan bagi menghalau serangga ini. 

Peluang membersihkan badan tidak disia-siakan walaupun air sungai Gerah ini sejuk di tahap beku kerana kem ini terletak pada ketinggian 5050 kaki dari paras laut. Senja berlalu, nyamuk semakin menganas menyerang kami. Bekalan ubat nyamuk yang di bawa oleh Arey diperlukan sebagai pembunuh serangga ini. Kami dijamukan dengan hidangan tomyam daging, daging masak kicap, telur dadar,nasi putih dan teh tarik sebagai santapan untuk malam ini. Badan direhatkan setelah selesai semua kerja dan kelengkapan untuk perjalanan esok disediakan.

01 Febuari 2006

Bulan kedua untuk tahun 2006, kami teruskan langkah untuk pulang ke Kampung Agik. Perut di alas dengan bihun tomyam bersama teh tarik sebagai sarapan pagi sebelum kami meneruskan perjalanan. Bekalan tengahari telah diagihkan kepada semua peserta kerana kami akan berhenti untuk makan tengahari, semuanya dalam masa sendiri. Sekali lagi kami perlu mengemas dan menebas laluan lama yang digunakan oleh orang asli untuk memburu ataupun mencari hasil hutan. 3 jam kami berjalan tanpa henti kerana trek yang tidak begitu susah. Pelbagai jenis kulat, cendawan, tumbuhan yang kami temui. 

Tepat jam 12.00 tengahari, kami berhenti berehat. Perjalanan kami diteruskan dengan melalui kawasan berbukit bukau. Merentasi sungai. Perjalanan kali ini agak membosankan kerana kami terpaksa melayani bukit-bukit untuk sampai semula ke Kampung Agik. Lewat 6.00 petang kami semua selamat tiba di hadapan rumah Pak Uda. Saya juga sempat memetik pucuk-pucuk ubi kayu di sepanjang laluan ke rumah Pak Uda untuk dijadikan ulam sebagai santapan malam nanti. Bekalan kayu ubi dan keledek bakar telah disediakan oleh isteri Pak Uda untuk kami semua. 

Malam ini kami di jamu dengan hidangan yang menarik,ulam pucuk ubi, kari sardin, ikan masin dan Nescafe ‘O’ panas membuka selera kami. Pak Uda juga di jemput makan untuk bersama. Selesai makan, mata dilelapkan & badan direhatkan. Dalam sedang menyiapkan tempat untuk merebahkan badan, hujan mula turun, kelam-kabut sebentar kami kerana beg kami semua berada di luar tanpa penutup beg. Selesai semuanya, kami semua terus melelapkan mata.

02 Febuari 2006

Hari kedua dalam bulan febuari ini memang di tunggu oleh semua peserta ekspedisi ini. Kami bersiap lebih awal . Nasi lemak panas menjadi sarapan pagi kami. Dalam pada kesibukan kami mengemas,Pak Uda sempat menunjukkan hasil tangan untuk dijualkan kepada kami. Beberapa orang peserta sempat membelek dan membeli untuk dijadikan barang kenangan dari Kampung Agik. Perjalanan kami diiringi Pak Uda yang secara kebetulan hendak ke rumahnya berhampiran dengan Kampung Lerlar. 

Perjalanan kami harus dipercepatkan kerana 4WD yang akan membawa kami ke Lasah akan tiba pada jam 2.00 petang. 5 jam kami berjalan menaiki bukit, menyusuri sungai, akhirnya kami tiba di Kampung Lerlar tepat jam 2.00 petang dan kelihatan Ah Hi telah lama tiba. Selesai saja menyusun beg di dalam kenderaan pacuan ini, kami terus bergerak meninggalkan Pak Uda & kampong Lerlar dengan kenangan pendakian yang indah. Tiba saja di Lasah, kami bergegas ke stesen bas berdekatan untuk mengambil bas di mana kami perlu ke stesen keretapi Sg.Siput.

Pukul 6.00 petang adalah masa terakhir untuk bas ini di kawasan ini beroperasi. Kami terus di bawa terus ke Pekan Sungai Siput. Sejurus tiba kami terus ke stesen keretapi. Sambil menunggu ketibaan keretapi ini, kami mengambil kesempatan membersihkan badan, berehat dan menjamu selera di restoran yang berhampiran.

Kami memulakan perjalanan jam 1.00 pagi untuk ke Kuala Lumpur.Keletihan yang amat sangat membuatkan kami terlena dengan pantas. Tepat jam 6.50 pagi, 3 febuari 2006, kami selamat tiba di Stesen Keretapi KLsentral.

Sesungguhnya, ekspedisi kali ini banyak meninggalkan kenangan yang susah untuk dilupakan

Sekian Lapuran oleh
Mohd Khairulhazri b. Ramli
Ahli Ekspedisi

Bersama Guide - Pak Uda



0 comments:

Post a Comment