logo

Logo OGKL

Logo OGKL

Wednesday, 24 July 2013

L07: Ekspedisi G. Tangga versi Hafez

Orang Gunung Kuala Lumpur.
XPDC Mendaki Gunung Tangga
Tarikh : 16hb Februari 2007 hingga 19hb Februari 2007
Bilangan Peserta termasuk AJK :  25 Orang

Prolog.

16 Februari 2007
Aku renung jalan yang penuh dengan kelibat manusia dan jenteranya yang memenuhi jalan raya. Sekarang ni, musim cuti Raya Cina maka ramai orang tak kira bangsa dan agama balik kampung. Al maklumlah cuti panjang. Masih ada kurang 2 jam lagi pukul 10.30 malam. Hmm, lambatnya pukul sepuluh. Aku masuk semula ke Times Square sambil memonolog diri ku. Biar betul aku nak gi Naik Gunung Tangga, sambil memikirkan apakah laluannya macam naik tangga atau macam naik escalator kat Times Square, mesti senang letak kaki terus naik atas. Apa yang aku merepek ni? Teringat aku, rasanya tahun lepas aku tersua Abd Apip, Kak Eryn, Abg Paei, dan Mem Ita nak naik Gunung Tangga di Sungai Pauh. Kata Abg Apip nak cuba GPS baru katanya. Maknanya Gunung Tangga ni dah lama tak ada pendaki yang naik, sampai nak kena guna GPS. Hmmmmm


10.30 malam. Aku terpacak sampai di Restoran Yusoff Zakir. Aku menjenguk ke dalam restoran, agak sunyi di belakang sana. Tiba-tiba ternampak kelibat Nana and the Gang menuju ke restoran. Aku pun ikut. Rupa-rupanya Azizan sedang menunggu untuk menjamu kami semua sempena hari kelahirannya, begitu juga dengan Nina dan Pakcik Yusoff.. Alhamdulillah semoga perjalanan umurmu diberkati Allah S.W.T. Amin. Bak kata pepatah pucuk dicita ulam mendatang kami semua mula memesan makanan dan minuman sambil menunggu rakan-rakan yang lain tiba.


17 Februari 2007
12.30 Malam Penantian itu satu penyeksaan.  Pak Presiden masih belum muncul. Kesemua peserta sudah mula hingar-bingar di restoran. Aku pula terseksa kerana makin lama menunggu makin aku mahu pesan makanan dan minuman lagi. Ha hah aha. Ketawa dalam hati. Aku pula makin risau, awal-awal lagi Pak Presiden dah lambat sampai...(hmm) Akhirnya orang yang ditunggu tiba. Kami semua mula bergerak ke Restoran Teratai untuk berkumpul dan diberi taklimat perjalanan oleh Pak Presiden. Setelah ration dan peralatan dibahagikan kesemua peserta mula berkumpul mengikut kenderaan yang telah dibahagikan mengikut aturan. Aku diberi tempat bersama pasangan Suami Isteri Jus Nina and Kak Nina. Berapa banyak na la...Sebanyak tujuh kereta berkonvoi pada XPDC kali ini. Perjalanan pada musim cuti ini agak memeritkan. Ini kerana kereta bergerak ala-ala kura-kura gitu. Mengikut perancangan awal , seorang peserta akan dikutip (pick-up) di R & R Rawang, kemudian bak kata pepatah kita hanya merancang tuhan yang menentukan., tak jadi bertukar ke R & R Sungai Buluh, tak jadi juga ,R& R Tapah pun tak jadi juga. Akhirnya sebulat suara diambil, berjumpa di Exit Simpang Pulai dan orang yang dikutip namanya Fadil mengambil keputusan memandu sendiri. Alang-alang dah nak sampai bak kata pepatah Alang-alang memeluk pekasam, drive terus sampai kampung Raja la.


Kami berjumpa di Exit Simpang Pulai lebih kurang dalam pukul 4.30 pagi. Pemandu-pemandu mengambil keputusan merehatkan diri sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Raja.   


5.30 pagi kami mula bergerak semula kekampung Raja yang mana mengambil masa lebih kurang 1 jam. Kami tiba di Surau Kampung Raja dalam pukul 6.30 pagi. Apalagi sembahyang Subuh dan seterus mencari tempat untuk melengkarkan diri sebentar. Sebelum aku tidur aku terbayang betapa cantiknya Puncak Gunung Tangga nanti tapi tak mau terbayangkan laluannya. He heh Heh.


8.30 pagi . Bangun!! Masak!!! Makan!!! Breakast!!!. Ahh bunyi suara makcik kantin mengganggu tidur aku yang nyenyak itu. Baru tiga jam aku tidur dengan selesa dan nak layan Puteri Gunung Tangga,  ada ker? (kalau baby yang baru lahir mana cukup nasib baik aku dah besar tiga jam tu kira cukup la). Nampaknya makcik-makcik kantin sedang menyediakan sarapan pagi untuk para peserta. Makan apa ye? Pagi ini kita makan sandwich. Tapi nasi goreng simpan untuk tengah hari.


9.30 pagi. Setelah menukar uniform pergi kerja (pergi mendaki la) Kami semua mula bergerak ke Pos Brooke sebagai starting point ke Gunung Tangga. Sebelum itu sedikit taklimat dan pedoman dari Pak Presiden dan Abg Murdafi (Uncle?) diberikan kepada para peserta. Doa juga dibaca sebagai pembuka langkah dan keselamatan dari kesulitan dan memudahkan perjalanan. Amin


10.10 pagi kami tiba di Pos Brooke, dan setelah berbincang dengan En Fauzi seorang pegawai di situ untuk meminta kebenaran meletak kereta berhampiran kawasan itu. Sambil menunggu Pak Presiden balik dari Kampung Org Asli untuk berjumpa Juruarah kami (guide) ada peserta mula mengambil kesempatan bergambar dan beramah tamas mesra dengan beberapa ahli keluarga baru OGKL. Kalau yang dah kenal tu nak berkenalan lagi. Bagi para bapa pula beramah dengan bininya dan anaknya la. Takkan nak beramah mesra dengan dengan anak dara orang pula, tak pasal-pasal kena hempuk dengan beg gadang. (Haversack). Hujan agak lebat ketika ini. Hmm


10.30 pagi. Kami mula bergerak ke kampung orang asli untuk menunggu juruarah kami. Di kampung orang asli kelihatan beberapa lori hantu balak menunjukkan kawasan ini masih ada pembalakan dilakukan. Sambil menunggu juruarah kami di Gelanggang Bola Tampar (court?), para peserta mula melakukan pemanasan badan (warm-up) sebelum memulakan pendakian dengan diketuai oleh Saudara Sabrie.


10.45 pagi. Perjalanan XPDC Gunung Tangga akan menggunakan Dua Juru Pandu Arah dan seorang anak juruarah juga akan turut bersama. Pak Hasyan berumur dalam lingungan 60 tahun selaku ketua gaid dan Pak Asyui berumur dalam lingkungan 50 tahun selaku pembantu gaid. Alam berumur dalam lingkungan 15 tahun merupakan anak kepada Pak Asyui. Sedikit taklimat diberikan oleh Pak Hasyan untuk perjalan kali ini.


11.00 pagi. Para peserta mula bergerak untuk memulakan pendakian ke Gunung Tangga. Diawal perjalanan kami dihidangkan dengan sungai yang keroh merah dan deras disebabkan hujan yang lebat di awal pagi. Nampaknya berkat semangat setiakawan dan kerjasama semua itu tidak menjadi masalah. Seterusnya perjalanan kami di sajikan dengan laluan balak yang cantik (hmm). Sepanjang perjalanan kami dapat melihat beberapa kampung orang asli yang masih hidup luar dari arus pemodenan (ye ke tapi kenapa aku nampak Astro disk kat rumah diorang lepas tu siap dengar diorang karaoke lagi. he heh). Kami juga terserempak dengan ibu-ibu dan anak-anak orang asli yang berjalan macam pergi membeli belah (mana taknye peluh tak keluar aku punya peluh dah sebaldi). Aku siap kena tegur lagi.  Aku masih lagi di hadapan sebab radiator belum panas lagi. Sejam lebih kemudian kami mula keluar dari kawasan jalan balak menyusuri sungai yang agak merah mungkin kesan pembalakan (kejamnya manusia) di hulu sungai. Perjalanan dihidangkan dengan laluan buluh dan tebing sungai. Aku kira kalau sungai tu tak merah mesti cantikkan.

Laluan perjalanan melintasi beberapa anak sungai kecil dan di hidangkan dengan satu air terjun kecil yang cantik dan indah disulami tempat yang lapang penuh dengan flora. Sesuai untuk perkhemahan biasa aku fikirkan. Tiba di satu sungai yang agak deras tapi tidak merah seperti sungai tadi kami mula melintasi sungai itu satu persatu.

Pak Hasyan berkata tak lama lagi syampailah ke tempat air terakhir. (last water point)
Akhirnya kami tiba ke tempat air terakhir. Beberapa peserta melabuhkan diri di tepi trek berdekatan dengan sumber air yang kecil tapi jernih. Pak Presiden sampai dan seperti biasa tangannya gatal untuk menebas maka ditebasnya kawasan itu sampai lapang dan selesa. Kami mula mengambil air untuk disimpan sepanjang perjalanan. Ada yang menunggu waktu Zohor masuk dan bersembahyang. Ada yang makan dahulu, ada yang bergambar, dan pelbagai aktiviti sendiri dilakukan oleh peserta.


2.30 petang. Kami mula bergerak-gerak menuju kepuncak sambil menyanyi lagu Akademi Fantasia menuju Puncak. Hujan mulai turun semula dalm keadaan renyai-renyai. Kesejukan mula mencengam jiwa. Laluan perjalanan yang awalnya santai mula menukar rentak klasik  ke irama hip hop. Terlompat kesana-kesini. Tiba-tiba terlihat kelibat Fadil menunggu di tepi trek. Katanya nak minta tolong bawa khemah sebabnya kakinya macam dah nak sakit. Aku tanpa banyak soal ambik aja. Kami semua mula bergerak mengikut irama sendiri. Lebih kurang sejam kemudian laluan mula mencanak tak ingat. Adakah ini mimpi atau bayangan, aku tetap teruskan perjalanan. Peserta di belakang mula memotong aku satu persatu. Kasi peluang mereka bergerak dahulu. Perjalanan semakin perlahan tapi masih konsisten dengan canaknya bukit itu. Hujan masih lagi rintik-rintik bak menyapu sutera di muka ku yang gebu ini. Fadil mula membebel didepan. Aku malas nak layan. Jalan..........


5.15 petang. Apa yang aku khuatiri akhirnya terjadi. Hujan yang lebat membasahi jiwa dan batinku yang dahaga itu tapi tetap tidak membolehkan aku terbang bak merpati di awangan. Mimpi yang indah mula menjadi ngeri. Laluan semakin sukar. Hilang semua dahaga aku sebab semua air hujan aku telan. Sejuknya mula mengusik batinku. Janganlah hujan lama-lama. Kecut aku nanti. Si Fadil dah mula merengek bak bayi yang kelaparan. Suka minta ambil lima (take five), banyak pula tu. Pak Hasyan mula berkata lagi syetengah jam syampailah. Tapi kalau tak jalan tak syampaila. Aku pula membayangkan alangkah enaknya tidur di rumah masa hujan ini. Ciss aku masih bermimpi. Yang tinggal kat belakang pelan-pelan kayuh aku, Azmin, Fadil, Pak Presiden dengan Pak Hasyan. Hehehe mantap. Jalan....


6.30 petang. Adakah aku bermimpi. Kenapa macam ada orang tengah tidur kat tengah trek. Rupa-rupanya Abg Fahmi dan Abg Zaini melayan mimpi di tengah trek siap pasang ground dengan fly lagi. Hu hu. (Tak boleh ketawa kuat-kuat tak baik berdose tau). Katanya tak larat nak kejar .Semua letak jantung dalam poket mana larat nak kejar. Sambil menunggu Mereka bersiap aku berjalan pelan-pelan kayuh. Jalan. Si Fadil dah merapu kat trek. Lantaklah. Jalan..,


7.30 petang. Kami berehat seketika menghormati waktu azan. Aku pulak terasa memang aku dengar azan. Senyaplah, nanti diorang kata aku PMS pula. Si Fadil dah mula mengira waktu  katanya dari tadi setengah jam bila nak sampai. (Dia ni dah mental pecah bersepai jadi kami mengambil sedikit barang dalam beg dia untuk mengurangkan bebanan di samping membuat lawak jenaka supaya dia terhibur).He heh .Aku mengambil kesempatan mengisi minyak dan air.(pakai minyak angin ke kaki aku yang malas betul nak bergerak). He he rasa macam dah mengandung pula. Kuat betul bau minyak angin Pak Presiden. Ini kalau mem Presiden mabuk mesti okay kalau dia pakai.


7.45 petang. Trek masih lagi mencanak. Kami bergerak semula sambil ditemani lampu kepala (headlamp) kerana dah malam, dah mata orang bukannya mata burung hantu boleh nampak waktu malam tak payah pakai lampu. Aku menggunakan lampu kepala baru yang dibeli dari Jus. Cahaya lampu ini cukup cerah berbanding dengan lampu kepala lama aku kerana menggunakan single embedded LED berbanding pelbagai LED biasa di samping sifatnya cahaya menumpu. Disamping itu ianya mempunyai tiga mod iaitu biasa, terang dan kelip-kelip. Hanya menggunakan tiga AAA bateri lampu kepala ini mampu menyinari laluan yang gelap di samping membantu perjalanan. Lampu kelip-kelip itu hanya untuk kecemasan sahaja , jangan suka-suka pakai nanti helikopter datang masuk suratkhabar kata kita membazirkan duit kerajaan. Si Fadil dah mula jadi biawak. Tak sampai lima minit jalan dia suka-suka tidur kat tengah trek. (Rasa nak babap jer dia. Nasib baik besar kalau kecik dah aku babap jer die nie). Sambil jalan sambil tipu Fadil. Ha dah nampak lampu banyak nak sampai dah. Dia semangat sikit. Kali ketiga tipu, ibarat cerita seorang pemuda dengan kambingnya yang dimakan harimau dia dah tak percaya.Ahh . Jalan...


9.00 Malam. Kami akhirnya sampai ke Kem Site Fahmi. Terkejut juga melihat Cikgu Rashid (Kalau Abg Rashid orang lain). Katanya dah dua jam dia terjongok kat situ nak pergi tak nampak trek jadi dia tunggulah kat situ. Nasib baik Cikgu Rashid tunggu kat situ. Setelah bermusyawarah kami mengambil keputusan mendirikan khemah disitu untuk mereka yang tidak mampu bergerak lagi. Aku , Azmin dan Pak Presiden bersetuju bergerak meredah kegelapan malam untuk kepuncak dengan membawa peralatan memasak, selimut, toto, KFC, McD, Capucinno dan sebagainya(Yo la). Kesian difikirkan apa yang peserta dipuncak makan. Tak lapar ker?, Tak Dahaga Ker? Takkan makan biskut sama meggi ke atas puncak. Apa kes..


10.00 Malam. Setelah siap makan dan minum dan bergurau dengan si Fadil dah seronok balik sebab takyah kena jalan. Kami mula berkemas dan bergerak. Kata Pak Hasyan dari Kem Site , kalau lenggang Cik Minah 1 jam 45 minit syampaila. Kalau biasa 2 jam. Jadi Kami menjangkakan 3 jam perjalanan ke puncak disebabkan hari sudah lewat malam. Kami mula bergerak sepantas yang mungkin. Ini dah kira tahap berlari tau. Trek agak sukar kerana tiada tanda baru. Kami bergerak berdasarkan pengalaman menjejak trek kasut, tambahan pula duri-duri tidak terusik yang suka mengusik begitu banyak. Untuk memastikan muka gebu saya tidak bercalar saya menggunakan tangan untuk melindunginya. He heh.


12.45 tengah Malam. Puncak masih belum berjumpa, trek naik mencanak tiba-tiba kena turun balik. Alahai.  Pokok masih besar-besar tapi kesejukan angin malam mula mencengkam jiwa. Sejuk macam ini tidur mesti sedap dan selesa. Dari jauh kelihatan satu tempat bercahaya . Hatiku rasa lega mungkinkah tempat yang dituju dan dicari hampir tiba. Rupa-rupanya pakar kem site OGKL Bulat membuka kem site baru bersama isterinya Kak Lin ditemani Abg Amir. Siap tidur lena dengan tukar pakai baju bersih lagi. Mereka sudah tidak mampu mengharungi cabaran mencanak lagi. Pak Presiden bertanya kalau periuk belanga yang ada kat Bulat sampai kat puncak dia nak tidur kat sini tak ada masalah punya. He hehe. Ayat.. Saya dan Azmin meneruskan perjalanan naik turun naik turun naik membiarkan Pak Presiden bersama mereka. Setelah hampir 2 jam berjalan saya dan Azmin rasa begitu mengantuk sekali dan kami tiba di satu tempat yang lapang, saya dan Azmin mengambil keputusan tidur sekejap atau dalam bahasa kampung saya take a nap. Tiba-tiba terdengar suara gegak gempita di belakang rupa-rupanya Pak Presiden berada tak jauh dibelakang. Lebih setengah jam juga kami take a nap. Kami bergegas dan bergerak segera supaya mereka tak jumpa kami sedang tertidur. He hehe. Dalam setengah jam akhirnya kami sampai ke puncak setelah bersusah payah mencari penyakit. Layan.


18 Februari 2007
2.00 Pagi. Rasa nak gelak tengok mereka terkebil-kebil kena nasihat dengan Pak Presiden kerana tak tunggu orang belakang. Aku gelak dalam hati aje, kena berlakon muka sedih sikit supaya tak kena senduk dekat kepala. Pak Presiden dan Azmin pergi berpatah balik kerana Abg Amir sudah tidak mampu bergerak lagi. Mujurlah tak berapa jauh. Makcik-makcik Kantin mula memasak diketuai Abg Murdafi (Uncle?) . Ada yang mencari bawang yang tak jumpa. Padahal ada kat tepi. Cari senduk tak jumpa. Si Ahmad jadi kambing Hitam, Pak Am jadi pengembala. Macam-macam ada. Anak Abang Zaini , Si Syamil dah tidur, sampai hati kau tinggal bapa kau kat trek. Hebat juga si Syamil nie umur baru 15 tahun dah mula pergi mendaki siap bapa ajak lagi. Dengarnya demam sambil sebut nama ayahnya. He hehe.Sambil tu aku melayan air teh o panas dan biskut dan meggi sambil menunggu mereka masak dan bersalin pakaian. Sedap dan nikmatnya.Hmm Malam tue eh silap pagi tu kami makan sahur Nasi sama ayam masak kicap dan sayur-sayuran. Sambil tu dengar cerita diorang masa dekat trek. Aku dengar ada yang kena ditinggalkan oleh bini. Sumpah trek dan sebagainya.He heh layan dan makan.


5.00 pagi.  Kami semua mengambil tempat masing-masing dan tidur dibawah satu fly dan ground. Nasib baik ground dan fly itu besar boleh menampung kami seramai 23 orang. Tidur pun satu cubaan juga rupanya, berlapis aku pakai rupanya lemak aku tidak berguna langsung. Lemak aku sudah tidak mampu untuk menahan kesejukan. Perlukah aku tambah lemak lagi? (Yo la) . Asal nak lena sikit kremp satu badan aku. Menyampah betul. Tapi pedulikan. Zzzz


6.45 pagi. Aku tersedar. Dah pagi rupanya . Ish cantiknya pemandangan, Tak sia-sia ada kat puncak pagi-pagi. Aku melihat sekeliling masih ada yang dibuai mimpi lagi. Makcik kantin macam biasa mula bekerja diketuai lagi oleh Abg Murdafi (Uncle?). Masak apa ya? Bihun goreng dan Nasi Goreng serta kebab untuk makan on trek masa tengah hari. Sambung balik baring. Tapi tak tidur sebab layan jiwa. Memanglah layan jiwa dah diorang masak atas kepala.


 8.00 pagi. Kami mula bersarapan dan berkemas sambil menunggu yang tidur di kem site sampai dipuncak. Sambil tu sessi bergambar atau lebih dikenali sessi kilat-kilatan dilakukan oleh para paparazi dan mamarazi in the future. Ada yang menelefon orang tersayang dan sebagainya. Ada juga kena marah sebab tinggal baju bini kat rumah.Bini sehelai sepinggang kat Cameron Highland. Nasib baik yang teman bininyer sais XL, bininya sais M buat sementara bolehla pakai baju XL.  Macam-macam ada. Lebih kurang pukul sembilan Abg Fahmi, Abg Zaini, Cikgu Rashid, Fadil dan Pak Hasyan tiba di puncak. Semua begitu ceria dan seronok sekali sampai di puncak. Akhirnya kesemua peserta sampai kepuncak. Kami semua bersiap-siap untuk turun. Dah penat-penat menyusahkan diri naik kena turun pulak. Turun


12.00 tengah hari. Aku tiba di kem site semalam. Perjalanan hari ini agak baik sikit sebab dah nak balik. Abg Murdafi (Uncle?) ditugaskan menyapu (sweeper). Rehat dan makan sikit disini, sambil menunggu mereka yang dibelakang sampai.


1.30 Tengah hari. Aku terus turun sambil pelan-pelan kayuh, Sekejap aku potong sekejap kena potong sekejap kat belakang sekejab kat depan sambil layan borak sorang-sorang. Abg Amir pun jalan pelan-pelan . Aku suka sangat menyodok jalan. Asyik-asyik jadi biawak. Jalan dah licin kasut pun licin.Abg Murdafi (Uncle?) kata kau pakailah kasut tanjen baru grip kuat dan laju. Azam. Aku terus berjalan takda ambil lima, jalan je. Sambil memonong . Jalan dan jalan.


5.50 petang. Aku sampai di last water point. Orang lain nampaknya dah kehadapan. Cikgu Rashid semakin perlahan. Tegang (Cramp) kakinya. Jus demam, nasib baik bininya otai . Aku terfikir dan bayang dalam kepala gamaknya masa orang lain takda si Ina ni mesti pikul Jus . Ye kot?. Aku terus bergerak dan bergerak sambil melilau mana tau jumpa bunga palma tapi hampa jumpa pokok sahaja dan akhirnya sampai ke trek balak.


6.45 petang. Aku sampai di kampung orang Asli. Siap ada pasar malam lagi pusing sekejap kat situ. Nasib baik aku tak bawak duit, tidak mesti aku dah shopping kat situ. Macam-macam ada. Aku. Azizan dan Abg Amir di kutip oleh Jus untuk dibawa ke Pos Brooke. Sampai Pos Brooke, mandi, solat dan sebagainya. Kami bermalam di Chalet Kampung Pos Brooke, mengikut perancangan awal bermalam Sungai Pauh akan tetapi penuh masa cuti ini. Pada perkiraan saya bermalam di Pos Brooke agak menarik kerana kami tinggal di Chalet (kononnya) ada eletrik, tak sejuk macam di sungai Pauh serta ada kemudahan air. Turut kelihatan Abg Apip dan Ibuk Eryn yang bersama-sama dengan kami pada malam itu.


8.30 Malam. Abang Murdafi (Uncle?) tiba bersama Cikgu Rashid yang agak teruk saya kira teruk tegang (Cramp) kakinya. Malam itu kami dihidangkan dengan makanan yang sedap disediakan oleh Ibu-ibu Ogkl (Kak Saf, Kak Fazid, Kak Fida, Ibuk Eryn) semua ada Western sama Eastern Food. Sambil melayan Baby-baby Ogkl sekejap mami, sekejap ibu sekejap mak dah bermacam telatah lagi.


10.30 Malam. Sesi suai kenal dijalankan. Semua bercerita pengalaman dan pahit manis perjalanan yang ditempuhi. Ada yang gatal sikit dia tanya la macam-macam. Baru aku tahu Abg Murdafi (Uncle?) pasang dua. Pasal tu power. Azam. Auww.Habis sessi suai kenal kami menjalankan aktiviti masing-masing. Ada yang main UNO, layan gelak, layan baby, mengurut dan sebagainya. Saya dan beberapa orang menjalankan aktiviti rahsia. heheh.


6.30 Pagi. Semua orang mula bangun dan bersiap nak berjalan-jalan ke Cameron Highland dan sebagainya. Aktiviti Sendiri.


5.30 petang. Kami semua tiba di Sungkai untuk meraikan Majlis Besar Ahli Ogkl Majlis Perkahwinan Abg Paei dan Mem Ita. Orang dah habis majlis baru nak sampai. Terpaksa jadi penangga. Habis makan kenduri kami mula bergerak balik ke destinasi masing-masing. Bye bye


Akhirkata saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua peserta dan ajk Ogkl yang bertungkus lumus menjayakan aktiviti Bersantai ke Gunung Tangga. Memang hebat walaupun pesertanya ramai dan bermacam ragam ditambah pula dengan kemeriahan baby-baby Ogkl yang ramai itu.

Kita jumpa di lain ekspedisi. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bak kata Pepatah

USAHA TANGGA KEJAYAAN
  

Disediakan oleh : Hafez




0 comments:

Post a Comment