logo

Logo OGKL

Logo OGKL

Thursday, 14 November 2013

info Gunung Chabang Tiga


Gunung Chabang Tiga 
Ketinggian : 3244 kaki
Puncak ke-2 dan G.Pukin (tengah) foto dari Puncak G. Chabang Tiga

Gunung setinggi 3244 kaki ini terletak dalam Daerah Segamat, Johor. Untuk pergi ke gunung ini pendaki perlu pergi ke Pekan Labis dahulu, kemudian masuk ke Pekan Air Panas. Dari Pekan Air Panas terus ke Kampong Kepoh. Dari situ pendaki perlu melalui jalan tanah merah masuk ke dusun buah-buahan hingga ke kawasan hutan. Kemudian melalui jalan balak lama yang penuh dengan resam.

Penulis pernah mendaki gunung ini pada tahun 1989 dahulu. Sekarang jalan yang penulis lalu telah jarang dimasuki orang, penulis percaya jalan balak yang penulis lalu dulu telah dipenuhi resam tebal atau terputus akibat hakisan.

Dari jalan balak lama yang keseluruhannya banyak mendaki bukit yang curam, pendaki akan sampai di kawasan sungai kecil. Sungai tersebut bernama Sungai Tenang Kudung. Sungai itu memang pelik kerana seolah-olah kudung, sekejap kita akan jumpa sungai tersebut mengalir, kemudian hilang, apabila kita naik ke atas lagi kita akan jumpa lagi sungai tersebut. Sebenarnya Sungai itu mengalir ke dalam tanah. Di sebelah hulu sungai itu terdapat air terjun kecil, anda boleh berkhemah di situ.
Dahulu terdapat trek yang agak terang dari arah Sungai Tenang Kudung terus ke Hulu Sungai Selai dan trek tersebut boleh sampai hingga ke hulu Sungai Endau. Trek tersebut akan melalui permatang gunung hingga ketinggian 2500 kaki. Di atas puncak permatang pendaki akan menjumpai trek yang bersimpang. Pendaki masuk simpang arah utara. Terus ikut arah Utara sehigga sampai satu lagi puncak permatang pada ketinggian 2800 kaki. Dari situ ke puncak Gunung Cabang Tiga mengambil masa 45 minit.

Turun dari puncak permatang ke bawah dimana terdapat kawasan yang agak landai .Dahulu penulis pernah berkhemah disini pada hari pertama pendakian. Sebelum sampai ke puncak satu lereng bukit yang agak curam setinggi lebih 400 kaki perlu didaki.

Puncak Gunung 
Puncak Gunung Cabang Tiga ini agak kecil dan sempit. Tidak ada kawasan untuk berkhemah. Dari puncak pendaki boleh melihat pemandangan saujana mata memandang, di sebelah timur Kawasan Hutan Taman Negara Endau-Rompin, sebelah Utara pendaki dapat melihat Puncak Gunung Besar, Gunung Pukin dan Puncak ke-2 Gunung Cabang Tiga. Arah Barat pendaki boleh melihat pemandangan yang luas hingga ke Gunung Ledang. Di atas puncak terdapat pokok-pokok renik, Paku –pakis Dipteris conjungata dan pokok Rhododendron sp. berbunga putih.
Sekarang Gunung Cabang Tiga boleh di daki dari hulu Sungai Segamat. Dari situ pendaki boleh sampai ke puncak ke-2 dan ke-3, Gunung Cabang Tiga. Penulis belum pernah lagi mendaki ikut laluan tersebut. Selain dari itu laluan tersebut boleh sampai ke Puncak Gunung Besar dan Gunung Pukin.
Disediakan / Photo:

Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor

2008

1 comments: