logo
Gambar-gambar Trip ABC

Logo OGKL

Logo OGKL

Friday, 26 October 2018

OGKL – ANNAPURNA BASE CAMP via POON HILL



Peserta- Fahmi, Hafiz, Jack, Dev, Prakash, Mugilan, Nizam, Anuar, Zuhara, Yanti, Kerry, Diong, Bella, Hadri, Ajib, Shuk, Zul.
Guide- Sona Sherpa & Asst. Guide – Angelu Sherpa (White Himalaya Treks Pvt. Ltd.)

Jumaat 7 September
Perjalanan rasmi perserta bermula dari Kuala Lumpur melalui udara ke Kathmandu. Perserta terbahagi kepada beberapa kumpulan. Penerbangan berlainan masa dan lapangan terbang namun tetap satu tujuan. Petang Jumaat semua peserta selamat tiba di Kathmandu kecuali dua orang yang hanya akan tiba pada Sabtu malam. Ketibaan kami semua disambut oleh Mr Ganesh atau Mr Sona dari White Himalaya selaku ejen yang menguruskan perjalanan trip kami ini. Kami dibawa ke Thamel Street untuk menginap di Backyard Hotel.


Sabtu 8 September
Satu hari free and easy di Kathmandu sementara menunggu perjalanan ke Pokhara pada malamnya menaiki bas. Peserta mengambil peluang ini untuk membeli belah barang keperluan di Thamel Street yang dianggap sebagai syurga barangan outdoor. Jam satu pagi, bas yang membawa kami memulakan perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara setelah dua peserta lewat telah pun sampai.


Ahad 9 September

Seawal lima setengah pagi, kami tiba di Pokhara. Kami menginap di hotel Romantika. Di Pokhara kami diberi peluang berehat untuk satu hari lagi serta membuat persiapan terakhir sebelum memulakan perjalanan ke Annapurna Base Camp pada keesokan harinya




Isnin 10 September
Seawal sembilan pagi, setelah selesai sarapan dan bergambar untuk kumpulan, kami memulakan perjalanan ke Nayapul. Menaiki tiga jeep disertai Sona sebagai jurupandu arah beserta porter. Memasuki empat puluh lima minit pertama pejalanan, kami terpaksa berhenti sekejap memandangkan salah seorang peserta iaitu saudara Jack, mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menarik diri. Jam dua belas tengah hari selepas tiga jam melalui jalan berbukit dan lereng, kami tiba di rumah rehat di Hille. 



Selesai makan tengah hari sejam kemudian, kami memulakan perjalanan untuk ke Annapurna Base Camp yang dijangka akan sampai pada hari ke enam nanti. Perjalanan hari pertama kami disambut dengan hujan yang lebat. Berhenti bermalam di Prastuti Guest House, Ulleri. Menjadi rutin dari malam pertama hingga malam terakhir, usai makan malam, sesi penerangan daripada Sona untuk perjalanan seterusnya beserta mengambil pesanan untuk sarapan pagi esoknya. Pancake, chapatti, toast bread, gurung bread, fry egg, half boiled egg, omelet. Makan laaaa.



Selasa 11 September
Sebagaimana hari pertama, hujan masih lagi mengiringi perjalanan kami di hari kedua. Perjalanan mesti diteruskan. Destinasi terakhir untuk hari kedua adalah ke Hungry Eye Guesthouse di Upper Ghorephani untuk ke Poon Hill. Sepanjang perjalanan dari Ulleri kami melalui Banthanti, singgah makan tengahari di Nagetanthi, Lower Ghorephani dan sampai ke destinasi pada jam empat lima belas minit petang.

Rabu 12 September


Selesai solat subuh, pada jam empat lima puluh minit pagi ketika hari masih lagi gelap dan sejuk, kami memulakan perjalanan ke Poon Hill. Sejam diperlukan untuk sampai ke puncak Poon Hill yang berketinggian 3210mdpl. Selesai bergambar berkumpulan kami turun semula ke guesthouse untuk sarapan dan bersiap bagi meneruskan perjalanan ke destinasi hari ketiga iaitu Rainbow Hotel di Chuile. Perjalanan banyak melalui jalur hutan. Singgah di Deurali untuk tea break, makan tengahari di Sunrise guesthouse, Banthanti dan rehat sekejap di Tadapani. Jam enam dua puluh lima minit kami sampai di Chuile


Khamis 13 September

Seawal enam pagi, matahari telah memunculkan diri. Kami dibelanja dengan pemandangan indah puncak Fish Tail. Selesai sarapan, kami memulakan perjalanan hari ke empat untuk ke Upper Sinuwa. Hari yang cerah dengan hujan sekejap sekejap di sepanjang perjalanan. Dari Chuile kami singgah di Chomrong untuk makan tengahari sebelum disambung ke Lower Sinuwa dan seterusnya sampai di Upper Sinuwa Guesthouse jam enam empat puluh minit petang.


Jumaat 14 September

Sasaran perjalanan hari kelima adalah untuk sampai ke Deurali. Jam lapan dua puluh minit pagi perjalanan bermula. Setelah dua jam perjalanan, singgah rehat seketika di Bamboo dan sambung semula ke Dovan untuk makan tengahari. Pada jam tiga lima belas minit petang kami sampai di Himalaya Guesthouse. Kami diberitakan oleh Sona bahawa perjalanan ke Deurali tidak dapat diteruskan kerana berlaku runtuhan jambatan akibat daripada kejadian kepala air. Kami terpaksa bermalam di Himalaya sementara menunggu jambatan dibaik pulih. Selain dari kami, ramai juga pendaki lain yang terpaksa berpatah balik atau tidak dapat meneruskan perjalanan mereka. Mengambil keberkatan di petang Jumaat, kami sama-sama berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan dan boleh diteruskan untuk sampai ke Annapurna Base Camp


Sabtu 15 September

Berita telah sampai kepada kami bahawa jambatan runtuh telah dibaik pulih dan sudah boleh dilalui. Jam sembilan sepuluh minit pagi, kami meneruskan perjalanan hari ke enam untuk terus ke Annapurna Base Camp (ABC). Selepas sejam setengah kami melintasi sungai di mana terjadinya jambatan runtuh dan setengah jam kemudian kami singgah berehat di Deurali yang sepatutnya kami bermalam pada hari kelima. Machhapuchhre Base Camp (MBC) menjadi persinggahan kami yang seterusnya untuk berehat dan makan tengahari. Perjalanan bersambung untuk dua jam lagi sebelum sampai ke destinasi dambaan semua walaupun jarak sebenar antara MBC dan ABC tidak jauh. Namun untuk mengelak daripada AMS (Acute Mountain Sickness) kami memperlahankan perjalanan sambil menikmati pemandangan yang indah. Akhirnya pada jam lima tiga puluh petang kami sampai di papan tanda Annapurna Base Camp yang masyhur saentero dunia.


Kepenatan perjalanan selama enam hari serta merta hilang. Perasaan bercampur baur antara gembira dan terharu hinggakan ada antara kami yang minitis air mata dengan kejayaan ini. Ketibaan kami disambut dengan cuaca yang agak baik disertai pemandangan puncak gunung Annapurna yang tersergam kukuh berhadapan puncak Machhapuchhre atau Fish Tail. Kami bermalam di Annapurna Sanctuary Lodge&Restaurant dengan suhu di dalam dorm 5 celcius.


Ahad 16 September

Selesai sarapan, perjalanan kembali disambung. Kali ini untuk pulang. Perjalanan hari ketujuh ini adalah dari ABC terus ke Upper Sinuwa, jalur yang sama untuk hari ke lima dan enam. Namun sebelum berhadapan perjalanan yang paling panjang atau kerja lebih masa, sekali lagi kami singgah sebentar di papan tanda ABC untuk sessi bergambar. Sambutan 25 tahun OGKL dan hari Malaysia menjadi tema bergambar kami. Seperti dijangka, kami sampai di guesthouse, Upper Sinuwa pada jam tujuh sepuluh minit malam. Menurut Sona, ini kali pertama baginya semenjak menjadi jurupandu arah, berjalan terus dari ABC ke Upper Sinuwa tanpa bermalam di Deuralli atau Himalaya terlebih dahulu. Jalan laaa. Makan malam terakhir kami di sini berlarutan agak panjang. Mungkin menjadi sesuatu yang indah untuk dikenang. Sebagai meraikan malam terakhir dan kejayaan sampai ke ABC, kami diberi peluang beramah mesra dan saling mengenali dengan lebih rapat antara jurupandu arah, pembantunya dan semua porter yang menjadi antara pemudah cara perjalanan kami.


Isnin 17 September

Hari terakhir. Semua seolah-olah tidak sabar untuk keluar ke dunia tamadun walaupun sedar perjalanan masih lagi jauh. Perjalanan hari terakhir bermula jam lapan lima puluh pagi. Dari Upper Sinuwa kami sekali lagi melalui Chomrong menaiki dan melayani tangganya yang banyak. Jinhu menjadi hentian terakhir makan tengahari kami. Birethanti pula destinasi terakhir untuk mengakhiri perjalanan lapan hari tujuh malam kami ini. Pada jam enam lima belas minit petang perjalanan kami berakhir. Semuanya selamat sampai dengan perasaan gembira dan bersyukur. Kami menaiki bas untuk kembali ke Pokhara dan tiba di Romantika Hotel jam sepuluh empat puluh lima minit malam.


Selasa 18 September       

Jam lapan tiga puluh minit pagi, kami menaiki bas untuk dibawa kembali ke Kathmandu. Tiba di Kathmandu jam tiga petang dan dibawa ke hotel Backyard, Jam lima petang, sessi penutup ringkas oleh ketua program dan penyampaian sijil oleh Mr Ganesh.


Rabu 19 September

Pulang ke Malaya dengan hati gembira dan kenangan yang pelbagai.. Sepertimana datang, pulang juga terbahagi kepada beberapa kumpulan dengan penerbangan yang berlainan.
   


Sekian
Ajk pencen

0 comments:

Post a Comment