|
Mukadimah
Dianugerahkan dengan Hutan Hujan Tropica yang luas,
Malaysia merupakan salah satu distinasi Eco-tourisim atau
pelancongan berasaskan alam semulajadi yang terkenal di
rantau asia. Hutan tebal, sungai dan gunung ganang
merupakan tulang belakang kepada hutan tropika ini. Kepada
sesiapa yang sanggup menghadapi cabaran, peluang untuk
menjelajah dan mengenal dengan lebih mendalam rahsia
hutan amat terbuka luas.
Akan tetapi, hutan boleh dijadikan kawan dan ia juga boleh
menjadi lawan sekiranya kita tidak betul-betul bersedia
menghadapinya, baik dari segi kelengkapan peralatan,
pengetahuan, kekuatan mental dan kekuatan fizikal. Untuk
itu kita haruslah memahami segala bentuk cabaran yang
sedia menanti dalam hutan sebelum cuba untuk menaklukinya
kerana ia boleh menjadi sangat mencabar dan merbahaya
dari banyak segi.
Disini saya ingin membawa kepada anda sedikit panduan dan
juga tatacara untuk hidup di dalam hutan sebelum kita
bercadang melangkah ke alam semula jadinya yang penuh
dengan keajaiban.
Permulaan
Rasa hormat dan cinta
terhadap alam semulajadi merupakan permulaan yang baik
sebelum melangkah lebih jauh ke dalam hutan. Disamping
berfikiran terbuka, mempunyai perasaan yang positif
terhadap hutan juga boleh membantu semasa berada di hutan.
Keadaan Fizikal dan
Mental
Fizikal lebih menjurus kepada elemen kekuatan (tenaga
luaran/penampilan) dan mental pula berteraskan elemen
pemikiran ( kecekalan/tenaga dalaman).
Selalunya, mental akan
terlebih dahulu mengaku kalah sebelum fizikal. Sekiranya
mental anda awal-awal lagi sudah mengaku kalah, walaupun
dari segi fizikal anda masih boleh meneruskan perjalanan
maka anda tidak akan sampai ke detinasi yang di tuju. Akan
tetapi sekiranya mental anda berkata anda akan sampai ke
tempat yang di tuju, walau apa pun halangan fizikal yang
dihadapi, anda akan tetap sampai juga akhirnya. Fizikal
yang kuat dengan mental yang lemah tidak akan menjanjikan
kejayaan.
Untuk menilai kekuatan
mental bukanlah dengan cara melihat susuk tubuh seseorang
itu kerana adakalanya orang yang bertubuh kecil itu lebih
tinggi tahap kecekalan mentalnya dan begitu juga
sebaliknya kerana tahap mental seseorang itu amatlah
subjektif. Untuk membina mental yang kuat dan cergas, anda
digalakkan menyemai keyakinan tinggi kepada diri sendiri.
Sentiasa berfikiran positif. Disamping itu amalkan sifat
terbuka dalam pergaulan, tidak mementingkan diri sendiri
dan yang paling utama ialah pengisian jiwa kita dari sudut
keagamaan.
Walaubagaimanapun,
persediaan dari segi kekuatan fizikal adalah amat penting
sebelum memulakan sebarang aktiviti pengembaraan. Untuk
aktiviti yang mencabar ianya memerlukan anda bersedia dari
segi fizikal dan memerlukan ketahanan stamina yang agak
tinggi. Aktiviti seperti berjogging, atau berbasikal boleh
dijadikan aktiviti persediaan yang baik sebelum memulakan
pengembaraan lasak untuk membina ketahanan fizikal. Amalan
menggunakan tangga untuk bergerak ketika dipejabat adalah
juga sebahagian daripada latihan untuk mengguatkan lutut
dan betis.
Untuk pengembaraan
hutan (jungle trecking) yang tidak melibatkan pendakian
gunung, anda tidak begitu memerlukan keadaan fizikal yang
baik. Akan tetapi jika pengembaraan yang melibatkan
pendakian gunung, anda haruslah mempunyai keupayaan
fizikal yang kuat dan stamina yang tinggi kerana ketika
mendaki anda akan membawa bersama lebih kurang 15kg
bebanan (bag) dan ini memerlukan kekuatan pada kaki dan
belakang. Dan semasa menuruni bukit kekuatan leher dan
kaki amatlah penting supaya tidak mudah tergelincir.
Anda mestilah belajar menerima dan cepat menyesuaikan diri
kepada perubahan cuaca atau keadaan sekeliling apabila
berada didalam hutan. Faktor cuaca seperti cuaca sejuk,
panas mahupun hujan, ribut atau banjir adalah sebahagian
daripada kemungkinan yang harus dihadapi. Berfikirlah
secara matang dan jangan terburu-buru dalam membuat
keputusan. Pertimbangkan semua peluang yang ada sebelum
mengambil sebarang keputusan, sebaik-baiknya anda
berbincang dengan rakan-rakan dalam menentukan tindakan
anda seterusnya.
Adalah lebih baik
sekiranya anda mengumpul semua maklumat tempat atau lokasi
yang anda ingin tujui sebelum memulakan perjalanan. Ini
sedikit sebanyak boleh menolong anda menyediakan peralatan
yang perlu untuk menghadapi keadaan yang bakal ditempohi.
Dalam sesetengah kes, pengambara yang berpengalaman juga
boleh menghadapi masalah dalam menghadapi perubahan
keadaan atau cuaca sekiranya tiada persediaan rapi.
Bag
Pilihan bag bergantung
kepada
a) jenis pengembaraan;
b) jarak masa berada di luar
c) kekerapan anda d)
kesanggupan berbelanja.
Bag atau haversack
hendaklah mempunyai kerangka dalam yang di jahit di dalam
bag dan tali (straps) yang boleh di laras mengikut
kesesuaian. Anda haruslah selesa semasa memikul bag anda.
Bag yang baik haruslah mempunyai padding yang baik, strap
dada dan beberapa poket disebelah tepi dan atas. Ianya
juga haruslah mempunyai lash-point untuk menggantung
peralatan yang besar seperti ground mats (alas tanah),
kantung tidur (sleeping bag) dan khemah. Bag berkapasiti
35 hingga 45 liter cukup sesuai untuk tiga hari berkembara
(pergi & balik). Untuk jangka masa seminggu, anda
memerlukan bag yang berkapasiti 60 liter atau lebih.
Barangan yang berat hendaklah di simpan di bahagian bawah
bag. Ketatkan waist strap (tali di pinggang) semasa
berjalan untuk mengurangkan kesakitan/lenguh pada bahu
anda. Berat bag yang amat sesuai semasa pengembaraa ialah
15Kg.
Bungkuskan barangan
anda terutama baju didalam plastik sebelum memasukkannya
kedalam bag, ini akan menghalang air (hujan atau sungai)
dari merosakkan barangan anda terutama bag tidur dan
pakaian. Kebanyakkan bag di pasaran adalah diimport dan
agak mahal. Pilihlah bag yang sesuai dengan aktiviti yang
anda ingin sertai. 45 – 60 liter amatlah sesuai untuk
pengembaraan hutan di Malaysia kerana paling lama anda
mungkin berada di dalam hutan adalah untuk tempoh satu
minggu.
Pakaian
Pakaian haruslah sesuai
untuk humuditi (suhu) dan kepanasan hutan. Semua pakaian
hendaklah disimpan di dalam plastik sampah ( diikat supaya
tidak dimasuki air). Amatlah penting untuk mempunyai
pakaian yang kering terutama apabila anda bersiap sedia
untuk tidur.
Bawa hanya pakaian yang
diperlukan sahaja. Sehelai seluar boleh dipakai sehingga
tiga hari. Jikalau pengembaraan memakan masa beberapa hari,
cuci pakaian anda, tetapi ambil perhatian pakaian akan
mengambil masa yang agak lama dari kebiasaan untuk kering
bila berada di dalam hutan. Ringan, nipis dan cepat kering
merupakan kriteria utama semasa memilih pakaian untuk di
bawa. Pakaian yang diperbuat dari nylon cukup sesuai untuk
dibawa kerana ianya ringan dan cepat kering. Untuk
melindungi kaki anda, seluar cotton atau nylon trak cukup
sesuai. Jangan sekali kali membawa seluar jeans, sweater
atau kasut boots.
Pilihan kasut perlulah
disesuaikan dengan aktiviti dan bentuk mukabumi yang akan
dilalui. Kebanyakkan kasut yang diimpot hanya sesuai
digunakan untuk berjalan tetapi tidak begitu sesuai untuk
kegunaan pendakian. Kasut getah (selalunya dipakai oleh
penoreh getah di zaman dahulu) adalah amat sesuai untuk
pendakian gunung kerana ianya murah, ringan dan tahan
lasak.
Untuk trek yang senang,
sepasang sandal yang kuat adalah piihan yang baik terutama
apabila terpaksa mengharungi sungai atau alur air. Akan
tetapi, laluan sukar dan berbatu seperti trek ke gunung,
kasut hiking adalah amat sesuai untuk memastikan
keselesaan semasa mendaki dan menuruni gunung. Untuk
mengelakkan kaki dari luka/melecet akibat berjalan terlalu
lama, jangan lupa memakai stokin.
Khemah
Khemah berbentuk Kubah
(Dome Tent) adalah pilihan yang terbaik. Walaupun Khemah
A-Frame masih terdapat di pasaran tetapi ianya agak kurang
popular kerana ia agak sukar dipasang semasa di dalam
hutan berbanding dengan Khemah Kubah. Four-Man Tent adalah
sesuai untuk di huni oleh tiga orang sahaja. Untuk Khemah
Kubah ianya agak mudah di pasang, hanya lima minit
diperlukan untuk mendirikan sebuah khemah kubah berbanding
dengan A-frame tent yang mungkin mengambil masa hampir 30
minit. Khemah Kubah juga tidak memerlukan khemah di
“pacak” ke tanah dan ianya amat ringan sekali. Jangan
sekali-kali menggunakankan alat memasak bergas (gas stove)
atau lampu bergas (gas latern) di dalam khemah kerana ini
akan menyebabkan kesukaran bernafas (asphyxiation) dan
boleh mengakibatkan kematian.
Satu cara paling mudah
untuk tidur sewaktu berkembara ialah dengan menggunakan
kantung tidur atau sleeping beg. Kebiasaannya sleeping
beg boleh kita miliki dengan berbelanja sekitar RM 30 –RM
60. Kebanyakkan Kantung Tidur yang diimpot agak besar dan
berat. Untuk cuaca di hutan Malaysia, kantung tidur yang
nipis sudah memadai. Alaskan kantung tidur anda dengan
ground mat yang boleh didapati di pasaran dengan mudah dan
murah. Dengan RM 12 ground mat, dapat menjamin keselesaan
tidur anda. Fungsi ground mat ialah menghalang suhu
kesejukan tanah dari meresap kebadan anda terutama
diwaktu pagi.
Unggun Api
Sesetengah orang
menyalakan unggun api dan setengahnya pula tidak.
Sekiranya kawasan perkhemahan itu agak terancam oleh
binatang buas ianya agak perlu memasang unggun api
sekurang-kurangnya dapat menghalang binatang buas dari
mendekati kawasan khemah anda. Asap dari unggun api dapat
menghalau binatang buas dan juga serangga seperti nyamuk.
Gunakan kayu yang telah
mati atau tunggul kayu untuk meghidupkan unggun api anda.
Bersihkan kawasan sekeliling unggun api sebelum menyalakan
api terutamanya daun-daun kering dan ranting-ranting kecil.
Pagarkan unggun api tersebut dengan menggunakan batu
supaya api tidak merebak. Pastikan api unggun mudah
dikawal dan tidak dinyalakan terlalu hampir dengan khemah
anda.
Belerang
Dengan menabur belerang
disekeliling khemah juga adalah salah satu cara bagi
mengelakkan tapak perkemahan anda dicerobohi oleh haiwan
atau serangga menjalar seperti ular, halipan, ulat bulu
atau kala jengking. Pastikan anda menaburkan belerang
selepas sahaja khemah siap didirikan. Selain menabur
belarang disekeliling khemah, adalah juga digalakkan
melakukannya disekeliling tapak perkhemahan anda.
Belerang yang berwarna kuning seakan-akan serbuk kunyit
boleh dibeli di kebanyakan kedai yang menjual peralatan
kembara dengan harga yang amat berpatutan.
Makanan
Jenis makanan yang
dibawa amat bergantung kepada jangka masa sesuatu
perjalanan. Ia boleh di katagorikan kepada tiga bahagian
atau bentuk iaitu makanan kering, makanan basah atau
makanan dalam tin. Memasak di dalam hutan sepatutnya
dilakukan dengan mudah, cermat dan selamat samada
menggunakan kayu api, lilin memasak atau dapur gas.
Mee segera , roti atau
nasi merupakan pilihan yang baik kerana ianya agak ringan
berbanding dengan makanan yang lain. Dapur gas mudah alih
(Butane Stoves) dan mess tins merupakan alatan berbagai
fungsi (sebagai kuali, periuk ,pinggan atau cerek) dan
ianya agak ringan dan mudah di bersihkan. Makanan yang
kaya dengan tenaga seperti coklat bar, kentang goreng,
nestum atau oat merupakan makanan segera yang amat mudah
dibawa dan dimasak. Bila berkembara jangan terlalu
memikirkan keselesaan kerana setiap perjalanan pasti ada
pahit manisnya & pengalaman akan menjadikan kita lebih
dewasa. Sentiasa sematkan didalam minda akan motto utama
kembara iaitu “ Lebih Sukar Lebih Mencabar”. Nah ! ianya
menggambarkan segalanya.
Peralatan
Membawa barang-barang
yang perlu merupakan langkah yang paling utama. Adalah
penting untuk membawa barangan ringan untuk menikmati
keseronokan pengembaraan akan tetapi anda perlu juga
memikirkan peralatan kecemasan. Kebanyakkan pengembara
yang kurang berpengalaman, cenderong membawa barangan yang
tidak begitu diperlukan yang hanya akan menambah berat bag
masing-masing. Adalah tidak perlu untuk membawa peralatan
bersolek atau minyak wangi didalam hutan, bedak antiseptik
(antiseptik talc) sudah memadai. Berat yang minimum
merupakan objektif utama.
Sekiranya anda
mengembara didalam satu kumpulan, perancangan adalah amat
penting supaya tiada barang yang sama dibawa didalam
kumpulan tersebut. Ketua kumpulan seharusnya tegas dalam
menentukan barangan yang akan dibawa untuk memastikan
berat setiap ahlinya berada didalam kadar yang paling
minimum.
Peti Bantuan Kecemasan
(First Aid Kits)
“Don’t leave home without it” itulah rangkap kata yang
sering kali dikaitkan dengan peti bantuan kecemasan
apabila anda bercadang untuk berkembara. Memang benar
tiada siapa yang inginkan kecelakaan tetapi mengambil
tindakan berjaga-jaga adalah salah satu cara
menghindarinya. Dalam setiap kumpulan atau individu yang
ingin berkembara adalah diharuskan membawa
sekurang-kurangnya 1 peti bantuan kecemasan. Memadai
dengan beberapa tablet panadol, minyak sapu, pil cirit
birit, minyak cap kapak, kapas dan beberapa ubat-ubatan
yang dirasakan perlu. Tentukan bekas peti bantuan
kecemasan anda tidak mudah diresapi air, jalan selamat
ialah dengan membalut peti anda dengan plastik.
Apa yang perlu dibawa
untuk pergembaraan dalam masa sehari:
Air yang mencukupi, makanan ringan dan sedikit alat
pertolongan cemas. Ini adalah barangan yang diperlukan
sekiranya anda mengetahui kawasan yang anda ingin terokai.
Akan tetapi sekiranya tempat tersebut agak baru bagi anda,
adalah dinasihatkan supaya anda membawa sedikit makanan
berat seperti roti sebagai makanan sokongan sekiranya
berlaku sebarang kecemasan dan anda terpaksa bermalam di
dalam hutan. Peralatan utama seperti mancis api,lampu
suluh, pisau dan baju hujan juga perlu di bawa untuk
menghadapi kemungkinan diluar jangkaan.
Untuk pengembaraan yang
melebihi dua hari:
Peralatan asas mandian, pakaian yang secukupnya, makanan,
botol air, lilin memasak, mess tin, ground mat, khemah,
lampu suluh, selipar, baju hujan( poncho), mancis api,
pisau atau parang, kompas dan alatan bantuan kecemasan (ubat-ubatan)
merupakan barangan yang perlu dibawa.
Alatan Tambahan:
Dapur gas mudah alih
(gas storve ), lampu pelita( gas/ minyak/lantern) dan
tali merupakan alatan tambahan yang diperlukan sekiranya
kawasan yang anda akan terokai itu agak merbahaya.
Berjalan
Teknik berjalan didalam
hutan agak sukar dipelajari melalui membaca, anda
seharusnya boleh belajar hanya melalui pengalaman sendiri.
Pengembara berpengelaman sekalipun boleh melakukan
kesilapan.
Rancang perjalanan
supaya anda dapat menentukan rentak (kelajuan) berjalan ,tahap
kecergasan dan keupayaan anda. Jangan sekali kali cuba
untuk berlumba sesama sendiri semasa berjalan kerana ini
akan menganggu tumpuan anda terhadap jalan yang anda lalui.
Cuba untuk tidak memijak batu, kayu mati, akar atau lumpur
semasa berjalan. Lakukan senaman memanaskan badan
terutamanya bahagian kaki sebelum melakukan perjalanan
kerana ini akan melancarkan perjalanan darah dan
mengelakkan kekejangan otot, disamping menggurangkan
senggal/lengguh badan. Kebiasaanya senggal/lengguh badan
akan mula terasa 1-2 hari selepas selesai berkembara.
Untuk menggurangkan rasa sakit, senggal atau lengguh badan,
makan dua biji panadol selepas sahaja selesai
penggembaraan.
Jangan sekali kali
merasa terkejut dengan keadaan laluan/jalan, anda
seharusnya sudah bersedia menghadapi sebarangan keadaan
yang diluar jangkaan. Bertenang dan cuba menikmati
keindahan hutan semulajadi disekeliling anda. Berjalan
dengan perlahan tetapi berterusan akan menggurangkan
kepenatan. Berjalan pantas kemudian berehat panjang kurang
baik untuk tubuh anda . Berhenti rehat dalam jangka waktu
5 minit adalah amat memadai (jangan sampai peluh kering).
Adalah dinasihati supaya terus berjalan semasa badan anda
masih panas.
Jangan minum air
terlalu banyak semasa berjalan kerana ini akan membuat
badan anda berat dan melambatkan pergerakan, namun begitu
anda digalakkan meminum air dalam kuantiti yang rendah
selang 20 minit berjalan bagi mengelak badan anda dari
kehilangan air (dehydrated) keesokkan harinya.
Elakkan minuman bergas
kerana ini akan menggangu perut anda dan mengakibatkan
pening kepala dan loya tekak. Bagi wanita yang memakai
tudung, pastikan anak tudung yang di gunakan dalam keadaan
longgar dan selesa. Anak tudung yang ketat akan
mencengkam kulit kepala dan ini serba sedikit akan
membataskan pergerakan darah dan secara langsung akan
mengakibatkan pening/sakit kepala.
Menyeberangi sungai memerlukan kerjasama dari setiap ahli
kumpulan. Jangan sekali kali memegang bag kawan anda
semasa menyeberangi sungai kerana sekiranya terjatuh anda
akan menarik sekali kawan anda . Ini amat merbahaya
sekiranya sungai yang cuba anda seberangi agak dalam,
memegang tangan adalah cara yang paling selamat. Jangan
beranggapan sungai yang cetek tidak ada bahayanya. Jika
sungai yang hendak diseberagi berarus deras , rentangkan
tali diantara dua tebing (depan/belakang) bagi memudahkan
proses menyeberang. Pegang tali dengan kemas dan pastikan
hanya 2 atau 3 orang menyeberang dalam satu-satu masa bagi
mengelakkan tali menjadi terlalu tegang yang boleh
mengakibatkan tali terputus atau terbuka ikatannya.
Bukakan tali bag yang merangkungi pinggang anda sebelum
menyeberangi sungai. Sekiranya anda terjatuh atau
tergelincir, anda hanya perlu melepaskan bag tersebut
sebelum anda dihanyutkan oleh arus sungai.
Anda tidak digalakkan
menyeberangi sungai dengan menggunakan kasut, gunakan
sandal. Kasut dan stokin yang basah akan menggangu
perjalanan anda dan juga akan mengakibatkan kaki anda
mudah luka/melecet dan ini tentunya tidak menyelesakan
anda. Anda juga sama sekali tidak dibolehkan menyeberangi
sungai tanpa memakai alas kaki (kasut/sandal/selipar),
tiada siapa yang tahu apa yang ada didasar sungai dan
untuk keselamatan anda gunakan alternatif lain jika
keadaan memaksa.
Kebersihan
Cuba sedaya upaya untuk mandi setiap hari kerana ini akan
mengelakkan ruam atau setidak- tidaknya lap tempat-tempat
yang mudah berpeluh seperti dibawah ketiak menggunakan
kain basah sebelum anda tidur. Jangan sekali-kali
meninggalkan barangan asing yang tidak mudah hancur di
dalam hutan seperti bag plastik dan puntung rokok kerana
ia akan mencemarkan kawasan tersebut. Bawa keluar semua
sampah selepas anda selesai pengembaraan. Adalah lebih
baik menggunakan plastik sampah yang tebal untuk
mengelakkan dari pecah semasa anda membawanya. Sampah yang
mudah hancur hendaklah ditanam di dalam lubang sedalam (sekurang-kurangnya)
setengah meter supaya ia mudah hancur dan mengelak dari
mencemari kawasan tersebut. Jangan biar tin-tin kosong
berselerakan. Untuk mudah dibawa ketuk tin hingga leper
dan masukkan kedalam plastik sampah atau beg anda.
Lubang sedalam
setengah meter juga sesuai dijadikan tandas kerana ia
mudah di timbus semula selepas digunakan. Ingat jangan
jadikan sungai sebagai tandas vip anda. Jangan sekali-kali
mencemari sungai, bertimbang rasa lah kepada pengguna
lain.
Kebanyakan air sungai yang bebas menggalir didalam hutan
boleh diminum terus tanpa perlu memasaknya terlebih
dahulu.Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya air
tersebut dimasak untuk mengelakkan jangkitan kuman
leptospirosis ( akibat dari air kencing tikus). Jangan
abaikan kesihatan anda ketika berkembara.
Saiz kumpulan
Saiz kumpulan/peserta
adalah bergantung kepada tempat yang anda ingin jelajahi .
Sekiranya tempat yang anda tuju itu lengkap dengan
kemudahan asas dan perjalanannya agak dekat , jumlah
peserta yang besar tidak menjadi halangan. Akan tetapi
sekiranya tempat yang anda tuju itu jauh ke dalam hutan
yang mengambil masa yang lama untuk sampai, kumpulan
seramai 10 hingga 12 orang amat sesuai kerana ianya agak
mudah dikawal. Saiz kumpulan yang besar sekitar 40 hingga
50 orang agak sukar di kawal dan ini akan mudah merosakkan
kawasan hutan yang dilalui.
Jurupandu juga banyak
bergantung kepada saiz kumpulan tersebut. Sekiranya
kumpulan yang besar beberapa orang jurupandu mungkin
diperlukan. Adalah dinasihati supaya anda mempunyai
sekurang-kurang dua orang jurupandu atau orang yang
mengetahui selok belok tempat yang dituju supaya sekiranya
berlaku sesuatu yang tidak di ingini kepada jurupandu,
anda masih mempunyai seorang lagi jurupandu untuk membawa
anggota kumpulan anda keluar atau meminta bantuan.
Ancaman Bahaya
Amat banyak tetapi
selalunya boleh dielak. Binatang buas selalunya tidak akan
menyerang manusia melainkan ia diancam terlebih dahulu.
Cuba elak dari tempat yang dikenal pasti terdapat harimau,
gajah atau buaya. Maklumat seperti ini boleh didapati dari
pejabat perhutanan atau balai polis yang berdekatan dengan
tempat yang anda ingin tuju . Minta nasihat dari pihak
berkuasa tempatan sebelum anda melangkah ke sesuatu
kawasan hutan. Kebiasaannya pihak perhutanan atau renjer
ada memantau pergerakkan binatang buas di kawasan jagaan
mereka.
Ular dapat merasa
getaran apabila ada musuh menghampiri dan selalunya ia
akan menjauhkan diri. Jangan sekali-kali cuba menggali
lubang yang terdapat di dalam hutan dikhuatiri ianya
adalah sarang kepada ular yang berbisa. Sekiranya anda
ingin menggali lubang untuk di jadikan lubang sampah, gali
lubang baru atau jauh dari lubang yang anda temui itu.
Beruang selalu nya tidak akan menggangu manusia tetapi ia
boleh menjadi agrasif sekiranya terkejut dan
berkemungkinan menyerang sekiranya terserempak dengan anda.
Kala Jengking, halipan,
lebah dan ulat bulu beracun adalah diantara banyak
serangga yang biasa di temui di hutan. Sengatan mereka
agak menyakitkan tetapi agak kurang bahaya. Tetapi kepada
mereka yang alah kepada racun serangga ini boleh
mengakibatkan gatal gatal atau mungkin mengakibatkan
kematian. Mengambil pil Anti-histamine atau epinephrine
jab merupakan langkah berjaga-jaga yang baik. Untuk
mengelakkan dari serangga ini memasuki khemah taburkan
sedikit garam atau belerang di sekeliling khemah anda.
Pacat juga merupakan
satu ancaman . Gigitan pacat boleh menyebabkan pendarahan
yang berpanjangan tetapi ianya tidak membahayakan. Ianya
akan menyebabkan rasa gatal yang berpanjangan dan mungkin
akan menyebabkan kudis sekiranya tidak di rawat dengan
ubat anti-septik.
Di sesetengah kawasan,
demam malaria merupakan ancaman yang agak merbahaya.
Adalah dinasihatkan supaya anda mengambil pil anti-malaria
satu minggu sebelum, memulakan pengembaraan terutama
pengembaraan yang memerlukan anda tinggal di dalam hutan
lebih dari seminggu. Adalah lebih baik menghindari kawasan
pembiakan nyamuk (sekiranya anda mempunyai maklumat
terlebih dahulu) atau anda boleh juga menggunakan krim
pencegah serangga. Sentiasa tutup (zipped-up) khemah
sepanjang masa untuk mengelakkan dari nyamuk atau serangga
memasukinya.
Batu adalah merbahaya.
Kebanyakkan kasut akan menggelonsor di atas batu yang
basah. Walaupun kecil batu adalah sangat licin. Sekiranya
anda tergelincir, ianya boleh menyebabkan kemalangan.
Berhati-hatilah semasa melangkah terutama di kawasan
berbatu dan berair.
Alur sungai juga boleh
bertukar menjadi sungai yang besar sekiranya terdapat
hujan di hulu. Anda mungkin menyeberang alur sungai
beberapa jam sebelumnya tetapi ianya mungkin bertukar
menjadi sangat deras dan ganas dalam masa beberapa minit
sahaja. Banjir kilat adalah fenomena yang biasa di hutan
terutama di kawasan hutan hujan tropika seperti terdapat
di Malaysia. Banjir kilat boleh meghanyutkan kayu balak
yang besar dan sangat merbahaya sekiranya anda berada di
laluan sungai tersebut. Jangan sekali kali anda berkhemah
terlalu hampir dengan tebing sungai, anda mungkin
dihanyutkan air semasa sedang tidur.
Jangan bergerak
sendirian ketika didalam hutan. Jika anda ingin mandi,
membuang air kecil/besar atau menikmati keindahan hutan
jangan pergi bersendirian. Tentukan anda membawa rakan
anda bersama dan memaklumkan pergerakan anda kepada ketua
kumpulan dan memberitahu kemana, berapa lama dan siapa
bersama anda. Ini akan memudahkan mereka mengesan anda
jika sesuatu hal terjadi. Jika anda keluar bersendirian
tanpa pengetahuan rakan-rakan tentulah menjadi sukar jika
sesuatu yang tak diingini berlaku kepada anda. Walau apa
pun yang anda lakukan sentiasa fikirkan keselamatan diri
dan kumpulan anda.
Sebelum anda memulakan
pengembaraan, adalah perlu melaporkan kumpulan anda kepada
pihak berkuasa tempatan atau pihak polis yang berdekatan.
Ini untuk memastikan ada pihak yang mengetahui pergerakan
kumpulan anda sekiranya berlaku sebarang pekara yang
tidak dingini. Dan sebelum anda meninggalkan tempat
tersebut lapur diri semula di pejabat yang anda buat
sebelum ini.
Sekiranya anda tersesat,
jangan sekali-kali panik. Persiapkan diri atau kumpulan
anda untuk bermalam di kawasan yang anda fikir sesuai dan
selamat. Jangan cuba untuk mencari jalan keluar kerana
mungkin anda akan tersesat lebih jauh lagi. Adalah mudah
bagi menemui anda sekiranya anda diam di satu tempat dari
anda meneruskan perjalanan. Nyalakan unggun api supaya
mudah di kesan dari udara. Sekiranya anda terpaksa
meninggalkan tempat itu cuba ikut aliran sungai dan
meninggalkan (tanda) jejak anda supaya mudah di kesan oleh
pasukan pencari atau sekiranya anda terpaksa berpatah
balik.
Sebagai langkah
berjaga-jaga, ketua kumpulan adalah di galakkan untuk
menyediakan satu wisel kepada setiap ahli dalam
kumpulannya. Pastikan wisel berada dekat dengan anda (gantungkan
di leher). Jika anda tersesat, tiup wisel sekerap mungkin.
Tentunya rakan-rakan yang sedang mencari akan dapat
mengesan bunyi wisel anda. Seperti selalunya beringat
sebelum terlambat.
Tidak dinafikan banyak
yang anda perlu ingat. Akan tetapi sekiranya anda selalu
berkembara kedalam hutan, pengalaman akan mengambil alih
tugas tersebut. Setengah pengetahuan itu hanya boleh di
timba melalui pengalaman, jadi apa di tunggu lagi…. Jom
kita ke Hutan!
*Catatan adalah
berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman penulis.
Oleh:
Mohd Zaini Kadir adalah seorang penulis bebas.
Penulis boleh dihubungi
di mozaini68@hotmail.com |