Gunung Besar Hantu - Air Terjun Kijang Jatuh
 


Gunung Besar Hantu, Jelebu, N.Sembilan. (4799')

Gunung di daerah Jelebu ini sebenarnya terletak di sempadan N.Sembilan - Pahang.
Orang Asli tempatan juga memanggil gunung ini dengan nama serupa tetapi tidak pula diketahui asal asul nama tersebut.

Kg. Chennah
Pendaki boleh tiba disini dengan masuk ke simpang Jln Kg. Chennah melalui Jalan Kuala Kelawang - Hulu Langat. Laporan pendakian boleh dibuat di Balai Polis Kg. Chennah. Khidmat jip juga boleh diperolehi disini.

Simpang Gunung - Air Terjun
Dari Kg Chennah ke sini ada akan melalui beberapa kampung, ladang getah dan kebun. Laluan adakalanya berturap, adakalanya pula bertanah merah serta penuh lopak-lopak. Dari Kg. Chennah ke sini mengambil masa 1 jam dengan jip. Pendaki juga boleh terus ke Air Terjun Kijang Jatuh dengan jip. Dari Air Terjun Kijang Jatuh ada tangga besi yang dibina untuk memintas trek simpang tadi ke G. Besar Hantu. Lebih 200 anak tangga dan trek mencanak yang mesti ditempuhi sekiranya memulakan pendakian dari sini.

Kem Orkid

Kem Hantu Air
1-2 jam dari simpang gunung - air terjun. Kem yang bersebelahan jeram ini sememangnya akan membuatkan pengunjung menjadi hantu air, apatah lagi untuk tiba di sini, pendaki perlu melalui trek balak tinggal yang dipenuhi resam dan terdedah pada panahan mentari. Kejernihan air dan kedinginan air sungai ini cukup menyegarkan.

Kem Orkid
Kem ini terletak diatas bukit, lapang dan gondol, mungkin bekas kawasan kongsi balak. Masih ada bangsal dari buluh ditengah-tengah kawasan lapang ini. Dikeliling kawasan lapang ini dipenuhi pokok orkid ungu. Manakala disatu sudut, dari tepi lereng bukit dapat didengari bunyi air terjun dari Lata Pemanis.

Beirut G. Besar Hantu

Puncak G. Besar Hantu
Puncak gunung ini ditandakan dengan beirut. Terdapat beberapa tempat tinjau yang dibina diatas pokok secara tradisional. Beberapa gunung seperti G. Nuang, G. Benom, G. Telapak Burok dapat dilihat dengan jelas. Genting Highland dan sekitarnya juga dapat dilihat dengan jelas.

 











G.Hantu & G.Pagar Batu

Kedua gunung ini paling dekat dengan G. Besar Hantu. Malah ada trek ke kedua-dua gunung tersebut dari G. Besar Hantu. Kedua-dua gunung ini juga dapat dilihat dengan jelas dari puncak G.Besar Hantu. G. Hantu lebih rendah dari G. Besar Hantu. Gunung yang berada di barat daya G. Besar Hantu ini mempunyai lereng batuan dipuncaknya. Manakala G. Pagar Batu mempunyai ketinggian yang hampir setara dengan G.Besar Hantu berada di sebelah tenggara.

Gunung Hantu dari puncak G. Besar Hantu
Gunung Pagar Batu dari puncak G. Besar Hantu

 

 

 

 

 





Air Terjun Kijang Jatuh

Air Terjun Kijang Jatuh
Air terjun ini menjadi daya tarikan utama bagi pengunjung ke sini. Umpama tidak sah mendaki G. Besar Hantu tanpa menjengah air terjun ini. Air terjun setinggi melebihi 40 kaki ini bagaimanapun tidak mempunyai kolam yang besar dan dalam.

Hasil:
Apip Embi

Sumber:
Apip Embi

Photo:
Apip Embi, Eryn & Jusrizal

      © Hak Cipta Terpelihara OGKL 2005 : Versi 3.0