Gunung Chemendong
 


Gunung Chemendong
Gunung Cemendong dari Felda Ulu Dengar

Gunung berketinggian 2777 kaki dari paras laut ini terletak dalam Daerah Kluang, Johor. Ia merupakan gunung ke 3 tertinggi dalam Banjaran Gunung Belumut (3313 Kaki). Gunung yang ke 2 tinggi ialah Gunung Gua Rimau (2917 kaki).

Untuk mendaki gunung ini anda hendaklah melalui Hutan Lipur Gunung Belumut. Bagaimanapun trek ke gunung ini tidak begitu popular kepada pendaki. kerana  trek ke puncak gunung Cemendong tidak pernah di naik-taraf atau diperkenalkan kepada pendaki. Penulis dengan inisiatif sendiri telah mencari jalan atau trek ke puncak hanya dengan bantuan kompas dan peta topografi. Jadi pendaki yang mendaki gunung ini perlu mendapatkan jurupandu arah.

Laluan ke gunung ini adalah mengikut trek ke puncak Gunung Belumut. Lebih kurang setengah jam atau 45 minit anda akan sampai di satu kawasan perkhemahan di sebelah kiri trek. Di situ terdapat air terjun bertingkat-tingkat dimana air terjun yang paling tinggi sehingga lebih 200 kaki tingginya.

Lebih kurang 15 minit dari tapak khemah, terdapat  trek disebelah kiri laluan ke Gunung Belumut. Masuk ke trek yang sebelah kiri itu, jika anda jalan terus anda akan menuju ke Gunung Belumut. Trek yang anda ikuti tadi akan menuruni bukit seterusnya   tiba di sebatang sungai yang selebar kira-kira 5 meter. Sungai yang berjeram dan berbatu itu perlu anda seberangi kerana tapak perkemahan terletak di seberang sungai. Anda boleh berkhemah di sini untuk hari pertama.

Air terjun 2 Tingkat
Pada hari yang pertama ini anda boleh habiskan masa anda di air terjun. Terdapat air terjun 2 tingkat yang terletak kira-kira 15 minit dari tapak khemah. Anda perlu menyusur trek ke hulu sungai. Trek tersebut tidak berapa terang kerana jarang dilalui. Senang saja anda boleh ikut disebelah kiri sungai hingga tiba di kawasan air terjun. Air terjun tersebut tidaklah terlalu tinggi tetapi terdapat kolam semulajadi yang besar dan dalam. Airnya amat jernih berwarna kehijauan dan terdapat banyak ikan tengas. Disitu anda boleh mandi-manda atau memancing atau sekadar berehat sambil menikmati keindahan alam.

Pemandangan dari puncak
Puncak Gunung Cemendong
Di belakang tapak khemah terdapat sebatang trek menuju ke arah Utara. Itulah trek ke puncak Gunung Cemendong. Keadaan trek tidak berapa terang dan terputus-putus. Trek tersebut mulanya landai, kemudian curam dan kemudian landai semula apabila anda tiba di permatang gunung. Pastikan anda banyak mengikut arah Utara. Selepas anda mendaki kira-kira 2 jam setengah, anda akan sampai ke puncak permatang pada ketinggian 2250 kaki. Dari situ anda perlu menuruni bukit arah timur hingga tiba di satu genting yang memisahkan permatang dengan puncak gunung. Dari situ anda perlu mendaki lebih kurang 500 kaki untuk sampai di puncak ke-2 Gunung Cemendong. Dari puncak ke-2 ke puncak paling tinggi mengambil masa setengah jam. Anda akan melalui satu permatang gunung yang sempit dan terdapat gaung di kiri-kanannya. Jika cuaca baik anda akan dapat melihat pemandangan di sebelah timur.

Puncak tertinggi Gunung Cemendong tidak terdapat beirut atau batu tanda di atasnya. Mungkin telah tumbang atau dilindungi oleh pokok paku jenis Dipteris conjungata yang tumbuh tebal di atasnya. Jika cuaca baik anda dapat melihat Gunung Belumut dan Gunung Gua Rimau di sebelah Selatan. Sementara di sebelah Barat anda dapat melihat kawasan Felda Kahang Timur dan Felda Ulu Dengar yang merupakan pintu masuk ke Hutan Lipur Gunung Belumut. Kawasan puncak gunung ini agak sempit dan penuh dengan pokok renik dan tiada tanah rata, jadi untuk berkhemah di puncak adalah tidak sesuai. Punca air juga tiada, anda terpaksa membawa air dari kaki gunung. Perjalanan turun memakan masa 2 hingga 3 jam.

Bayaran permit mendaki perlu dibuat di Pejabat Hutan di pintu masuk Hutan Lipur atau IbuPejabat Perhutanan Negeri Johor.

Penulis dan pasukannya

Disediakan / Photo:

Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor

Kemaskini 2008



 

      © Hak Cipta Terpelihara OGKL 2005 : Versi 3.0