|
Gunung Janing
Ketinggian : 2150
kaki

Pemandangan
dari puncak Gunung Janing
|
GUNUNG JANING ( 2150 Kaki
) Gunung ini terletak dalam kawasan Taman
Negara Endau-Rompin Johor. Untuk mendaki
gunung ini perlu mendapatkan permit masuk
dari Pejabat Perbadanan Taman Negara Endau
-Rompin di Pekan Kahang. Segala bayaran
termasuk permit mendaki boleh di buat di
situ. Seterusnya anda perlu masuk ke Taman
Negara Endau-Rompin (TNER) sejauh 60 km
dari pekan Kahang. Jalan masuk keseluruhannya
adalah off-road, jadi anda perlu menaiki
pacuan 4 roda. Jika tiada anda boleh minta
pihak Taman Negara mencarikan perkhidmatan
pengangkutan tersebut untuk anda, dengan
kadar bayaran yang tertentu.
Setelah anda masuk ke TNER
anda terus ke Komplek Pelawat TNER untuk
tujuan pendaftaran dan mendapatkan pemandu
arah. Di TNER anda tidak dibenarkan masuk
ke mana-mana tanpa khidmat guide. Komplek
Pelawat TNER sebenarnya terletak betul-betul
di bawah kaki Gunung Janing. Trek pendakian
bermula dari Kawasan Plot Etnobotani iaitu
kawasan yang menempatkan tanaman Herba ubat-ubatan.
Pendakian ke puncak memakan
masa 2 hingga 3 jam. 1 km pertama trek yang
dilalui adalah landai dan agak mudah. Selepas
1 jam mendaki anda akan sampai di satu kawasan
batu dinding tetapi tidak begitu tinggi.
Terdapat tali disediakan untuk pendaki memanjat
ke atas. Di sebelah atas terdapat satu kawasan
rata yang agak luas. Dari situ pendaki boleh
melihat Pemandangan Kampung Peta yang terletak
antara kaki Gunung Janing dan Bukit Peta
serta Sungai Endau.
Setengah jam dari batu
dinding yang pertama pendaki akan sampai
di kawasan batu dinding yang kedua. Batu
dinding ini agak tinggi dan menegak hingga
90 darjah. Pendaki akan mendaki melalui
lereng-lereng batu dinding dan terdapat
tali disediakan sepanjang laluan yang curam.
Dari kawasan batu dinding yang kedua hingga
ke puncak laluan adalah semakin curam. Apabila
anda sampai di satu kawasan yang terdapat
banyak batu-batu besar, bermakna puncak
gunung sudah tidak jauh lagi, Selepas mendaki
sebuah bukit yang sederhana curam pendaki
akan sampai ke puncak yang sebenar.
Kawasan puncak ditumbuhi
pokok-pokok tinggi, bagaimanapun terdapat
satu tempat untuk melihat view. Dahulu puncak
gunung ini ditanda dengan sebuah beirut,
sekarang beirut tersebut telah buruk dan
roboh. Sekarang di atas puncak telah ditanda
dengan sebuah Menara Walkie-Talkie kepunyaan
TNER. Untuk melihat pemandangan yang lebih
luas pendaki boleh memanjat menara tersebut
tetapi segala risiko pendaki tanggung sendiri.dari
atas menara setinggi 70 kaki itu pendaki
boleh melihat pemandangan saujana mata memandang,
gunung-ganang, air terjun, sungai serta
hutan rimba Endau -Rompin boleh di lihat
dengan jelas.
Disediakan / Photo:
Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor
2008
|