Gunung Muntahak
 


Gunung Muntahak
Ketinggian : 2080 kaki / 634m
Gunung Muntahak

Gunung ini terletak dalam Daerah Kota Tinggi, Johor. Air Terjun Kota Tinggi yang terkenal itu berpunca dari gunung ini, dimana Sungai Pelepah Kanan yang membentuk air terjun tersebut mengalir turun  dari Gunung Muntahak. Sebenarnya tidak terdapat trek khusus untuk mendaki ke puncak gunung ini. Kami terima 2 info dan 2 trail dari 2 pendaki tempatan.

Laluan Barat / Noh Trail


Laluan Awal
Untuk ke gunung itu anda boleh melalui Jalan Kluang – Kota Tinggi. Selepas 1 km dari Petri Jaya, terdapat satu simpang jalan yang tidak berturap disebelah kiri jalan besar. Seterusnya anda masuk ke jalan itu. Jalan tersebut biasa dilalui oleh lori-lori pasir dan lori pengangkut buah kelapa sawit. Jalannya tidak berapa rata dan berlubang-lubang. Untuk sampai ke kaki Gunung Muntahak jaraknya kira-kira 7 km. Dari tempat meletak kenderaan di pinggir hutan anda terpaksa berjalan kaki selama setengah jam meredah paya, bekas lombong lama dan semak resam dan benteng pasir yang ditumbuhi pokok orkid buluh dan periuk kera. Apabila anda telah sampai di kawasan sungai berjeram bermakna anda telah sampai ke kaki gunung.

Air Terjun Sg Tengkil

Air terjun 10 tingkat
Ulu Sungai Tengkil yang mengalir turun dari Gunung Muntahak mewujudkan air terjun 10 tingkat. Terdapat trek di sebelah kiri air terjun yang telah penulis buat. Trek tersebut akan membawa pendaki hingga ke tingkat ke-7 air terjun. Pemandangan air terjun di tingkat ini paling cantik sekali. Air terjun yang setinggi kira-kira 30 meter turun menegak melalui permukaan seakan dinding dengan kecuraman 90 darjah. Terdapat kolam semulajadi yang berair jernih dan sejuk di bawahnya, sesuai untuk mandi-manda.

Ke Puncak Gunung Muntahak
Pendakian ke puncak Gunung Muntahak bermula dari tingkat ke-7 air terjun. Ikut sebelah kiri air terjun, trek agak curam dan penuh dengan resam. Trek akan menjadi semakin landai apabila pendaki sampai di ketinggian 1700 kaki aml. Pendaki perlu mendaki 2 puncak permatang sebelum tiba di puncak sebenar.

Puncak permatang yang pertama setinggi 1900 kaki, dari sini pendaki boleh melihat pemandangan di sebelah utara di satu kawasan lereng bukit yang telah runtuh. Puncak permatang yang ke-2 setinggi 2000 kaki. Dari sini ke puncak sebenar hanya kira-kira 15 minit sahaja, dimana pendaki akan menuruni lurah kemudian mendaki semula puncak yang tertinggi.

Laluan Tenggara / Johan Trail

Laluan Awal
Dari starting point sampai ke kawasan permatang ada tanda-tanda yang dibuat oleh Jabatan Ukur, memudahkan trek dilalui tanpa perlu menebas banyak, dalam 15-20 minit, ada waterpoint (mini waterfall) di kiri trek yang boleh diagak melalui bunyi air yang agak kuat. di trek menuju turun ke waterpoint memang kawasan agak sesuai untuk take 5. selepas berehat (layan pacak dalam 15 minit tadi), perjalanan diteruskan sampai ke persimpangan (simpang 3) . ke kanan menuju ke kawasan hutan simpan dan lombong, ke kiri menuju ke puncak.

Peringkat ke-2
Mula mendaki sedikit sampai ke level hutan sekunder yang agak usang dan nature. mungkin sebab lama tidak dikunjungi manusia. perlu diingat, ini kawasan binatang terutama harimau, babi hutan, tapir dan kijang berdasarkan jejak dan najis yang ada. Uniknya trek ke puncak agak luas untuk 3 orang sekali berjalan bersaingan walaupun keadaan nampak nature dan tidak terusik. Tiada kesan pencemaran atau kerosakkan yang serius akibat kemasukkan manusia. Trek juga dihiasi dengan pokok resam, rotan kecil dan beberapa spesis flora berwarna-warni. pokok daun lebar, tanduk rusa, sarang burung dan orkid putih menyegarkan pemandangan. Terdapat beberapa kawasan rata tapi kurang sesuai untuk tapak khemah sebab ada kubang binatang (babi hutan) merosakkan suasana.

Kawasan puncak yang lapang dan beresam

Peringkat ke-3
Selepas sejam 20 minit perjalanan, pendaki akan sampai ke kawasan permatang. Mula memasuki hutan pergunungan, kelihatan spesis buluh halus dan periuk kera di tepi trek dan sekali sekala pokok tumbang akibat tiupan ribut merentangi jalan. walaubagaimanapun suhu tidaklah sejuk seperti yang dijangka walaupun di ketinggian 1500 kaki dpl. mungkin kawasan sekeliling sudah diteroka membuatkan suhu biasa sahaja. perjalanan berbaki 40minit ke 1 jam untuk sampai ke puncak ketika kedaan trek mula menegak perlahan-lahan. akar-akar mula menjadi sebahagian dari trek. dari trek kering bertukar menjadi trek bertanah gambut dan lembab sampailah ke puncak.

Keseluruhan masa ialah dalam 2 jam - 2 1/2 jam untuk naik (masa buka trek, dalam 4 jam). turun cuma 1 jam 1/2 sampai di pintu rimba.

Sumber air terakhir

Sumber Air Terakhir
Dari pintu masuk ke puncak, berjalan terus melepasi kawasan tapak khemah ke depan dan ambil laluan kanan sedikit menuju ke bawah. kami ada membuat marking untuk ke waterpoint. dalam 7-8 minit menurun, ada anak panah di sebatang pokok balak besar (di tengah trek) menunjukkan arah ke kanan. terus turun mengikut bunyi air dalam 5-6 minit ke bawah. dari trek, memang bunyi air tak jelas jadi perlu menurun mengikut marking yang ada. waterpoint sangat jernih dan ada kolam kecil (diameter 1 meter) yang boleh diletak botol 1.5 liter tanpa masalah.

Puncak GunungMuntahak

Resam di puncak Muntahak - Noh

Puncak Gunung Muntahak ditanda dengan beirut, Sumber 2008, beirut telah pun rebah tapi sisa tiang beirut masih ada di puncak gunung. Puncak gunung ini merupakan sempadan 3 mukim iaitu Mukim Ulu Sungai Johor - Mukim Ulu Sungai Sedili Besar - Mukim Kota Tinggi.

Di puncak, boleh memuatkan hampir 60 orang sekaligus. rata dan tidak berakar. cuma perlu menebas pokok resam dan semak untuk meluaskan tapak khemah.

Kawasan disini yang tiada pencemaran jadi tikus atau agas memang tiada. kalau ada agas, berhati-hati sebab menunjukkan kehadiran harimau atau babi hutan. pacat juga tidak kelihatan pada 3 trip ke sini. mungkin ada cuma tidak sebanyak tempat lain.

Pemandang sekeliling juga tidak dapat dilihat kerana dihalang oleh pokok kayu yang tumbuh melebihi 5 meter.

Tiang Beirut yang dijumpai



Nota:
Catatan Noh mengatakan tiada tanda / beirut di puncak gunung ini dikeluarkan, Namun Noh Trail dikekalkan atas sebab semakan menunjukkan trail tersebut munasabah dan boleh membawa ke puncak Muntahak. Andaian: Noh & pasukannya mungkin tak ke tengah puncak/tidak perasan beirut yang tumbang atau pun berada di puncak tipu beberapa meter dari puncak sebenar.

Sumber / Photo:

1-Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor
2008

2-Johan(John) Lennon / Dewajiwa
Jan 2008


Kemaskini: Nov 2008

      © Hak Cipta Terpelihara OGKL 2005 : Versi 3.0