|
Gunung
Nuang, Hulu Langat, Selangor.
G. Nuang 1493 m (4899 kaki) dpl terletak
di daerah Hulu Langat, Selangor. Gunung
ini juga bersempadanan dengan negeri Pahang.
Puncak gunung ini ditanda dengan sebuah
beirut. Pokok-pokok agak tinggi di puncaknya
namun terdapat kawasan tinjau untuk melihat
panorama Lembah Klang terutama Bandaraya
Kuala Lumpur. Jelas kelihatan pencakar-pencakar
langit di Kuala Lumpur seperti Menara Petronas,
Menara Kuala Lumpur menara Rebung dan yang
lain lagi. Di satu sudut pula boleh dilihat
kawasan tadahan empangan Hulu Langat, juga
kawasan tadahan empangan Klang Gate berserta
Bukit Tabur. Kawasan puncak boleh memuatkan
sebilangan pendaki untuk bermalam dan menikmati
panorama malam.
Kebiasaannya gunung ini menjadi tempat
latihan bagi pendaki-pendaki di Lembah Klang
sebelum mendaki gunung-gunung yang lebih
tinggi.
Laluan Pendakian
Pendaki boleh pergi ke Kg, Pansun, Hulu
Langat dengan menaiki bas Kuala Lumpur -
Pansun ataupun menggunakan kenderaan sendiri.
Kemudian pendaki boleh berjalan menuju Empangan
Hulu Langat. Pejabat Perhilitan yang berada
bersebelahan pintu pagar kawasan empangan,
menjadi tempat pendaki melaporkan pendakian
dan tempat meletak kenderaan persendirian.Laluan
seterusnya menyusuri jalan batu kerikil,
kemudian masuk ke jalan balak lama atau
jalan tanah merah. Keadaan muka bumi mula
mencanak dan sesekali pendaki terpaksa meuruni
bukit. Laluan diselangseli tanah merah dan
jalan tar.
Terdapat satu lagi laluan untuk terus ke
jalan balak lama tanpa melalui Pejabat Perhilitan.
Pendaki boleh menyimpang dari laluan ke
Pejabat Perhilitan menuju ke Quarters LLN
(TNB) lama. Laluan boleh dimasuk menggunakan
kereta sepanjang jalan baru kerikil. Pendakian
bermula dengan melintasi deretan rumah tinggal
quarters tersebut sehingga bertemu jalan
balak.
Satu wakaf didirikan di penghujung jalan
balak yang boleh dilalu menggunakan pacuan
4 roda. Bangku-bangku turut ditempatkan
sebagai tempat rekreasi Sg. Loloh. Pendaki
perlu menyusuri laluan bersebelahan palong
air sepanjang laluan hingga ke rumah Empangan
Loloh. Kemudian melintasi empangan sebelum
tiba di Kem Loloh. Kawasan kem agak luas
dan mampu menampung 200 pendaki.
 |
|
Beirut
Gunung Nuang
|
Kem Loloh biasanya menjadi tempat bermalam
para pendaki. Hanya dua kali melintasi sungai
melepasi kem sebelum memulakan pendakian
ke puncak. Laluan pendakian mencanak dan
lebar memandangkan laluan adalah bekas laluan
balak lama. Laluan akan menjadi licin bila
hujan.
Laluan balak lama tamat sebaik tiba di
kem yang dikenali sebagai Dataran Pacat.
Jangan terkejut jika pacat kini sukar ditemui
di kem ini. Ada satu sumber air di bawah
cerun curam Dataran Pacat ini. Tidak ramai
pendaki yang menuruni cerun ini melainkan
betul-betul kehabisan air ataupun bermalam
di Dataran Pacat ini.
Dari Dataran Pacat laluan pendakian terus
mencanak menyusuri tangga-tangga akar kayu.
Terdapat satu puncak anak Nuang sebelum
sampai ke puncak G. Nuang. Keadaan muka
bumi mulai lembab dan berlumut hingga ke
puncak.
- Apip Embi
|