|
Gunung Panggang Paku
Ketinggian : 2756 kaki
|
Gunung Panggang Paku dari Kg Tiat |
Gunung yang berada di Mukim Hulu Jelai, Lipis, Pahang ini bukanlah gunung yang dikenali ramai. Sejarah bagaimana gunung ini mandapat nama belum dapat dikesan. Gunung dengan nama dari istilah bahasa Melayu ini berada di tengah hutan belantara dan cukup jauh dari penempatan Melayu. Penempatan Orang Asli yang berdekatan juga mengambil masa beberapa hari untuk ke puncak ini.
Gunung Panggang Paku yang berdiri tunggal ini jelas kelihatan dari beberapa penempatan Orang Asli, seperti Kg. Tiat dan beberapa kampung lagi serta boleh nampak dari lebuhraya Lipis-Cameron Highland. Gunung ini bukan saja amat jarang didaki pendaki malah mitos gunung yang penuh mistik ini membuatkan masyarakat Orang Asli setempat cuba menjauhkan diri dari gunung ini. Kononnya gunung ini berpenunggu, sesiapa yang mendaki akan diganggu dengan ribut di atas gunung, penunggu akan menumbangkan pokok-pokok balak. Selain itu kewujudan puteri bersiram di telaga di puncak gunung yang tidak suka kehadiran orang luar di kawasan itu. Selain faktor masa 12 hari pendakian atau 5 hari pendakian baru boleh mencapai puncak gunung ini menjadi pegangan majaoriti penduduk Orang Asli setempat.
 |
Menyusuri Sg. Telum |
Kawasan kaki gunung ini pernah diteroka untuk pembalakan, rekod kami berdasarkan laporan berita tahun 2003, 2008 sekali lagi aktiviti pembalakan ada dikaki gunung ini. Starting point kami di Kuala Misung, kuala sungai yang bergabung dengan sungai utama iaitu Sungai Telum. Untuk ke sini pendaki boleh menggunakan jalan Lipis-Cameron Highland seterusnya masuk ke jalan tanah merah / batu kerikil hingga ke Kg Tiat (kereta masih boleh sampai ke sini). Dari Kg Tiat pendaki boleh menaiki bot hingga ke Kuala Misung selama 45 minit.
Alternatif pendaki boleh menyeberang Sg. Telum ke Kg Pinang dan berjalan hingga ke Kuala Misung. Satu lagi alternatif pendaki boleh masuk menggunakan laluan balak dari Kongsi balak di fasa-3 Jalan Lipis-CH kira-kira selama 3 1/2 jam dengan pacuan 4 roda.
Trail ke puncak G. Panggang Paku tidaklah diketahui kewujudannya. Cerita pendakian seorang tua keturunan Orang Asli yang mendaki dari arah Timur gunung ini dengan tempoh 12 hari.
Rentis 1
Kami memilih mandaki dari Kuala Misung dengan memilih rabung paling dekat menghala puncak bukit (824dpl) yang menghubungkan permatang ke gunung. Terdapat sumber air bersih dari alur air berdekatan pangkal rabung. Peringkat awal laluan sepanjang rabung ini agak mudah ditempuh dengan pokok sekunder yang tumbuh jarang-jarang.
 |
Kuala Misung |
Peringkat seterusnya pokok rotan, bertam dan tumbuhan semak semakin tebal hingga sukar berjalan di tengah rabung dan memerlukan kerja-kerja tebasan yang banyak. Terdapat laluan gajah hampir di sepangjang lereng rabung ini.
Peringkat ke-3 tamat rabung dengan kecerunan 45 darjah, pokok-pokok tumbuh agak jarang, lantai hutan dipenuhi dedaun kering. Peringkat seterusnya, kawasan pokok resam yang begitu tebal dan luas. Laluan ke puncak bukit terpaksa dibuat dengan menebas laluan, mimijak resam mahupun terowong ditengah pokok resam.
Rentis 2
Rentis ini diantara Kuala Misung ke Puncak 824, memandangkan rabung pada rentis 1 juga sebahagian rentis gajah, rentis 2 laluan dirabung yang lain. Dari K. Misung rentis ini mengarah ke Sg. Teratut. Laluan permulaan begitu jelas, menyusuri denai lama ke Kg. Medang. Pendaki masih boleh berjalan beriringan 3 orang. Sampai satu pangkal rabung laluan menyimpang dan mula off-trek hingga ke puncak 824. Ada beberapa sungai berdekatan rentis ini.
|
|
G. Panggang Paku di waktu senja |
Puncak 824
Pokok-pokok bertam banyak tumbuh di puncak bukit ini. Kami membuka 1 kemsite di tepi lereng puncak ini. Lereng yang menghadap ke arah CH ini membolehkan kami mendapat signal talian komunikasi. Keadaan kemsite agak terlindung dari angin kuat . Beberapa langkah dari kemsite ini merupakan puncak bukit yang dihubungkan dengan satu permatang, laluan menurun sedikit sebelum sambung ke rabung gunung.
Laluan sepanjang permatang / rabung agak mudah, dengan bertam yang tumbuh jarang-jarang pada permulaan dan seterusnya pokok-pokok balak yang agak besar dan boleh dilalui tanpa menebas. Lantai hutan yang dipenuhi dedaun kering juga terdapat beberapa kesan najis gajah di rabung gunung.
Angin begitu kuat di atas permatang ini hingga adakalanya pokok balak dirasai bergoyang. Keadaan geografi gunung yang berdiri tunggal jauh dari jajaran tanah tinggi lain membuatkan angin yang datang terus tanpa tampanan, agak deras. Mungkin keadaan ini yang membuatkan masyarakat Orang Asli setempat percaya ada unsur mistik yang menjatuhkan pokok-pokok balak terutama ada manusia yang mendaki ke sini.
Di hujung rabung terdapat alur air yang boleh dijadikan bekalan air bersih. Trek Pacak dari sini ke puncak gunung kira-kira 45-1jam. Laluan sekali lagi dipenuhi pokok-pokok, seperti buluh dan pokok-pokok kayu kecil.
 |
MP tanda puncak gunung |
Puncak Gunung Panggang Paku
Puncak gunung merupakan titik tertinggi permatang kecil gunung ini. Pokok-pokok kayu setinggi lebih 8 meter tumbuh diatas puncak gunung ini. Terdapat satu tanda torehan 'MP' pada pokok kayu di puncak gunung ini. Ini mungkin membawa maksud Mt. PanggangPaku. Terdapat satu perigi buta di puncak gunung ini. Ada view point yang boleh nampak bukit-bukau berbalam-balam. Di puncak ini boleh memuatkan 25-30 pendaki untuk bermalam dalam satu masa.
Disediakan / Photo:
Apip Embi
2008
|