Gunung Panti Barat
 


Gunung Panti Barat (1684 kaki) , Johor

Gunung Panti Barat


Gunung setinggi 1684 kaki ini terletak dalam Daerah Kota Tinggi, Johor. Selain dari Gunung Panti Barat, gunung yang termasuk dalam banjaran gunung ini ialah Gunung Panti setinggi 1577 kaki. Bagaimanapun Gunung Panti jarang di daki kerana puncaknya yang rata hanya ditumbuhi dengan pokok-pokok hutan yang tebal.

Gunung Panti Barat boleh di daki dari 2 tempat yang berlainan. satu laluan dari Jalan Kota Tinggi-Air Terjun dan satu laluan lagi dari Kg. Bukit Lintang, Batu Empat. Laluan yang paling popular ialah dari jalan Kota Tinggi – Air Terjun. Laluan ini jaraknya ialah 3 km dan boleh terus sampai ke puncak gunung. Laluan ini mempunyai trek yang terang dan lebar, agak landai di satu dua tempat dan terdapat juga trek pacak. Kira-kira 100 kaki sebelum berjaya menawan puncak, pendaki terpaksa memanjat kawasan yang terdapat batu dinding dengan darjah kecuramannya hampir 90 darjah. Bagaimanapun terdapat tali yang telah dipasang bagi memudahkan pendaki untuk naik ke atas.

Pemandangan dari puncak gunung

Puncak Gunung Panti Barat mempunyai kawasan yang rata sesuai untuk mendirikan khemah bagi pendaki yang ingin bermalam di puncak. Dari atas puncak pendaki boleh menyaksikan pemandangan yang indah menghala kearah Barat. Menyaksikan pemandangan matahari terbenam merupakan pengalaman yang mungkin tidak akan dapat dilupakan di sini.

Untuk berkhemah di puncak, pendaki mesti membawa air dari bawah atau pendaki  perlu berjalan  di permatang gunung sejauh 1 km untuk mendapatkan bekalan air. Ikut arah Timur selama setengah jam hingga pendaki tiba disatu lagi kemsite, di situ terdapat punca air  yang sejuk dan jernih berwarna seperti teh 0 pekat. Dari kawasan kemsite itu pendaki boleh menyaksikan pemandangan arah selatan dan Timur.

Noh & sahabat di puncak Gunung Panti Barat

Bandar Kota Tinggi dan kawasan perkampungan boleh dilihat dengan jelas dari  situ. Jika pendaki, mendaki mengikut laluan dari Kg. Bukit Lintang, pendaki akan sampai di kemsite ini dahulu, kemudian baru meneruskan perjalanan ke Puncak Gunung Panti Barat. Pendakian dari Kg. Bukit Lintang lebih mudah tetapi agak jauh untuk sampai ke Puncak G. Panti Barat.
















Hasil & Photo:
Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor

2008





     © Hakcipta Terpelihara OGKL : Ver 3.0