Gunung Pari
 


Gunung Pari, Chemor, Perak.


Gunung Peninjau & Gunung Pari dilihat dari Tol Jelapang.

Gunung Pari

Gunung Pari adalah gunung yang paling dekat dengan Gunung Peninjau. Cuma jajaran Gunung Pari dan Gunung Peninjau agak terpisah tapi berada bersebelahan. Bagi generasi lama tempatan, gunung ini disebut Gunung Pari-pari. Gunung Pari berada dalam Hutan Simpan Keladang Saiong (sebut Siong) menjadi sebahagian dari Banjaran Keledang. Jajaran Gunung Pari merentang dari Ulu Chepor di Timur ke Kanthan di Barat. Hutan sekunder di Gunung Pari ini dipenuhi pokok bertam selain pokok balak.

Menuju pintu rimba Ulu Chepor

Laluan Pendakian

Pendakian ke puncak Gunung Pari boleh dimulakan samada dari Kanthan atau dari Ulu Chepor atau pendaki boleh buat Trans Pari dalam sehari. Manakala permulaan dari Kanthan adalah dikawasan Projek Ternakan Itik, Kanthan.

Ulu Chepor Trail

Pendakian dari Ulu Chepor, melalui bermula dari Bt. 10 Ulu Chepor berdekatan taman perumahan baru, Taman Mas. Kawasan pintu rimba disini banyak dengan pokok resam. Pendaki perlu mendaki cerun hingga tiba di atas permatang, turun menyusuri permantang, lintas trek balak dan mendaki cerun ke permatang yang lain. Berdekatan trek balak yang dilintas ada anak sungai (sumber air terakhir).


Pacak sekejap

Selepas lintas anak sungai tadi, cerun mendaki mencecah hingga 80 darjah sebelum tiba di atas bukit dan permatang. Pendaki akan mendaki ke arah Barat Laut. Tiada trail yang jelas memandangkan banyak pokok bertam dan kubang babi. Awas terdapat beberapa jerat babi yang dipasang. Selain itu banyak kesan trek balak lama.

Trail ini akan melalui 1 puncak bukit, 1 puncak tipu sebelum sampai ke tempat yang dikatakan puncak G. Pari. 4-5 jam pendakian melalui trail ini untuk ke puncak.

Kanthan Trail

Jalan kaki dari Pekan Kanthan melalui kawasan perindustrian hingga ke hujung jalan berturap. Jalan seterusnya merupakan jalan kereta-motor tidak berturap bermula dari sebelah kawasan ternakan itik di bekas lombong bijih, masuk ke kawasan pengumpulan kayu balak, terus ke arah kebun sayur tidak jauh dari kawasan kuari hingga masuk ke kawasan hutan melalui trek balak.

Trail trek balak seperti biasa banyak simpang-siur, pendaki perlu mendaki ke arah timur dan trek mendaki sahaja hingga ke hujung. 5 -10 minit dari hujung trek balak pendaki akan melalui trail permatang hingga ke puncak permantang yang merupakan puncak G. Pari. Dianggarkan masa pendakian melalui trail ini juga memakan masa 4 - 5 jam.

Puncak G. Pari

Puncak ini tidak mempunyai tanda rasmi. Tanda yang ada cuma kayu pokok yang dipacak. Selain itu tanda torehan nama pada pokok besar pendaki-pendaki terdahulu (dikabarkan budak sekolah) untuk meuar-uarkan kejayaan tiba di puncak. Secara geografinya puncak gunung ini sebenarnya cuma permatang. Ketinggian direkodkan 3300 kaki dari paras laut *1. Tumbuhan-tumbuhan pokok balak tumbuh di puncak ini.

Nota:
Hutan bahagian barat gunung ini (sebelah Kanthan), aktiviti pembalakan sedang giat dijalankan.
Hutan bahagian timur gunung ini (sebelah Ulu Chepor), pokok-pokok balak untuk tebangan telah pun ditanda.

*1 : Ketinggian dari jam altimeter Khalil.

Lagi Gambar


Hasil:
Apip Embi - Mac 2008

Photo:
Apip Embi




      © Hak Cipta Terpelihara OGKL 2005 : Versi 3.0