|
Gunung Peninjau, Chemor, Perak.

Gunung Peninjau & Gunung Pari dilihat dari Tol Jelapang.
Serba-sedikit tentang Gunung Peninjau
Gunung Peninjau bukanlah asing bagi masyarakat Ulu Chepor, Chemor. Ada generasi lama memanggil gunung ini Gunung Kecil, mungkin keadaan gunung ini tidak sebesar gunung-gunung di Banjaran Titiwangsa yang jelas kelihatan dari Ulu Chepor. Gunung Peninjau berada dalam Hutan Sinpan Keladang Saiong (sebut Siong) menjadi sebahagian dari Banjaran Keledang.
Hutan sekunder ini atau hutan yang tumbuh selepas aktiviti pembalakan kini, telah kembali ditutupi pokok-pokok hutan hinggakan kebanyakan lantai hutan tidak ditumbuhi tumbuhan renek. Walaupun mukabumi bekas jalan balak masih boleh kelihatan, pendaki seperti tidak akan terasa berjalan di jalan balak. Mungkin sebahagian hutan di sepanjang trail G. Peninjau tidak akan menjadi kawasan pembalakan lagi memandangkan kaki gunung ini telah dijadikan kawasan perkelahan.
Kawasan Perkelahan Sg. Ulu Chepor
Kawasan ini cuma 2 KM dari Chemor / Tol Jelapang. 1KM pertama ada papan tanda 'Kaws. Perkelahan Sg. Ulu Chepor', 1KM seterusnya adalah jalan kampung berturap hingga ke kawasan perkelahan. Kawasan ini telah dibangunkan dengan banyak kemudahan seperti chalet kayu, chalet batu, dewan, tapak perkhemahan, tandas dan bilik salin, kedai makan, padang kawat, tempat letak kereta dan pondok-pondok rehat hampir sepanjang jeram bagi mereka yang berkelah. Setiap kereta yang masuk ke kawasan ini dikenakan caj RM1/masuk.
|
|
Lintas Air Terjun 1 / Air Terjun 2 |
Laluan Pendakian
Pendakian ke puncak Gunung Peninjau mengambil masa kira-kira 3 jam. Pada awal perjalanan pendaki akan menyusuri tepian Jeram Sg. Ulu Chepor. 15 minit perjalanan pendaki akan melintasi air terjun. Terdapat beberapa air terjun di Sg. Ulu Chepor.
30 minit dari air terjun pendaki perlu mendaki cerun dengan kecerunan 75-85 darjah. Ketiadaan pokok-pokok untuk berpaut serta lantai hutan yang penuh dedaun kering menjadi cabaran pendaki samada sewaktu mendaki atau menuruni. Ada bahagian yang diletak tali bagi membantu pendaki tapi masih banyak tempat yang tidak bertali.
 |
|
Air Terjun (LWP) |
Tamat pendakian cerun ini pendaki akan tiba di atas permatang. Checkpoint ini boleh didirikan khemah dan mampu memuatkan 30 orang untuk bermalam. Menariknya, tidak jauh dari sini ada sungai kecil dan satu lagi air terjun. Cuma beberapa minit berjalan, mungkin 3-5 minit dengan cerun 15 darjah. Disinilah sumber air terakhir pendaki.
Berada diatas permatang pendaki sudah tentu perlu menyusuri permatang hingga ada satu simpang pendaki akan mendaki cerun kembali. Awas permatang ini juga merupakan bekas laluan balak. Dikhuatiri pendaki akan terus menyusuri bekas laluan balak ini. Trail pendaki yang bersih dari sampah amat menarik sepanjang pendakian ini.
Hampir sampai ke puncak pendaki akan melalui kawasan pokok resam dan pokok-pokok yang lebih renek. Puncak ditandakan dengan beirut dan batu tanda. Keadaan beirut masih utuh. Bezanya piramid beirut dibuat dari atap abestos. Ada satu kawasan pemandangan dari puncak, jelas kelihatan seluruh Pekan Chemor.
Puncak gunung dikelilingi pokok-pokok tinggi melepasi tinggi beirut. Luas puncak boleh menampung 100 orang tapi untuk bermalam 40-60 orang masih munasabah.
 |
|
Beirut puncak Gunung Peninjau dan pemandangan Pekan Chemor dari puncak Gunung Peninjau |
Lagi Gambar
Hasil:
Apip Embi - Mac 2008
Photo:
Apip Embi
|