|
Gunung Pertawai
Ketinggian : 2756 kaki
Gunung ini terletak di dalam kawasan Taman Negara Endau-Rompin Johor. Untuk pergi ke gunung ini perlu melaporkan diri dengan pihak pengurusan Taman Negara dimana pendaki perlu membayar beberapa perkara seperti permit masuk, pemandu arah, bot, insuran dan lain-lain.
Masa yang dicadangkan untuk mendaki gunung ini adalah 4 hari 3 malam. Selepas membuat segala pembayaran di Pejabat Taman Negara di Pekan Kahang, pendaki perlu memandu terus ke Taman Negara Endau-Rompin, singgah sebentar di Komplek Pelawat untuk urusan mendapatkan pemandu jalan (guide). Kemudian terus ke Kampong Peta untuk menaiki bot ke Kuala Jasin. Dari Kuala Jasin bermulalah acara treking untuk ke Pertawai Basecamp.
Perjalanan dijangka memakan masa 3 hingga 4 jam melalui jalan balak lama sehingga tiba di Sungai Anak Jasin. Dari situ pendaki akan masuk ke trek hutan yang redup dan lembap, dimana trek yang dilalui adalah bersebelahan dengan Sungai Anak Jasin. Setengah jam dari jalan balak lama, pendaki akan sampai di sebuah air terjun 1 tingkat. Di sini terdapat tapak perkhemahan yang boleh memuatkan 2, 3 khemah. Di bawah air terjun terdapat sebuah kolam semulajadi yang sesuai untuk mandi-manda.
 |
Air Terjun Gn Pertawai |
Dari air terjun 1 tingkat pendaki perlu berjalan selama 1 jam lagi ke Pertawai Basecamp. Laluan kali ini agak berbukit sedikit tetapi tidak terlalu tinggi dan sedehana curam. Trek masih lagi di sebelah kiri Sungai Anak Jasin yang berjeram dengan airnya yang sangat jernih. Apabila sampai di basecamp, pendaki perlu menyeberang sungai untuk ke tapak khemah yang terletak di sebelah kanan sungai. Pendaki mesti berkhemah disini kerana tidak ada lagi tapak khemah yang lain. Pendaki juga tidak dibenarkan berkhemah di atas puncak gunung kerana kawasan puncak yang sempit dan berbagai risiko yang lain.
Air Terjun Anak Jasin
Jika pendaki mempunyai masa, pendaki boleh treking ke Air Terjun Anak Jasin yang memakan masa 1 jam dari tapak khemah. Air terjun ini mempunyai beberapa tingkat dan yang paling cantik adalah tingkat yang ke 3, dimana air terjun tersebut turun dari lereng Gunung Pertawai setinggi lebih 30 meter. Terdapat sebuah kolam semulajadi yang besar dan dalam, dengan airnya yang jernih berwarna biru kehitaman.
Puncak Gunung Pertawai
Tapak khemah untuk ke puncak gunung memakan masa 4 hingga 5 jam. Pendaki perlu mendaki dan turun dari gunung dalam masa 1 hari. Permulaan pendakian pendaki terpaksa mendaki lereng gunung yang curam sehingga 50 darjah. Pada ketinggian 1000 kaki pendaki akan melalui hutan pokok daun kipas ( Livistona endauensis) yang merupakan tumbuhan endemik di Endau-Rompin. Hutan pokok daun Kipas akan berakhir apabila pendaki tiba di ketinggian 2000 kaki.
Kemudian pendaki akan melalui trek di atas permatang gunung yang landai dan sesekali perlu mendaki bukit-bukit rendah dan menuruni lurah yang agak curam. Lebih kurang 2 atau 3 jam dari tapak khemah pendaki akan menuruni satu lurah yang agak curam dan di bawahnya terdapat sebatang anak sungai yang merupakan punca air terakhir. Selepas itu pendaki akan mendaki semula lereng bukit hingga tiba di atas permatang gunung. Dari sini untuk ke puncak mengambil masa 1 jam sahaja. Sebelum tiba di puncak pendaki terpaksa mendaki laluan yang agak curam, sempit dan tumbuh-tumbuhan jenis hutan gunung mula terdapat di sini.
Berhampiran puncak pendaki akan melalui laluan yang sempit dan botak dengan gaung di kiri-kanan, sedalam beberapa ratus meter. Beberapa meter dari puncak sebenar pendaki sudah boleh melihat pemandangan saujana mata memandang. Kelihatan hutan Taman Negara Endau-Rompin di sebelah Utara bersempadan dengan Negeri Pahang. Gunung Beremban, Gunung Beremban Tenggara, Gunung Ulu Kemapan dan Gunung Besar jelas kelihatan.
Puncak sebenar Gunung Pertawai agak kecil, hanya boleh memuatkan 1 atau 2 khemah. Terdapat pokok-pokok renik tumbuh di sekeliling kawasan puncak. Perjalanan turun dari puncak ke Pertawai Basecamp mengambil masa 2 hingga 3 jam.
Disediakan / Photo:
Noh B Hj Ismail
Pembantu Hidupan Liar
Taman Negara Johor Pulau Kukup
Kukup, Pontian, Johor
2008
|