Gunung Trusmadi
 


Gunung Trusmadi, Tambunan, Sabah

Puncak-puncak gunung trusmadi, Puncak tertinggi jauh disebelah kiri sekali.

Gunung ini direkodkan sebagai gunung kedua tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 2642m d.p.l. Cabaran mendaki ke gunung ini berlainan sekali dengan G. Kinabalu. Menjanjikan panorama menarik G. Kinabalu dan matahari terbit serta banjaran gunung-ganang berdekatan kehijauan berbalam-balam.

Pos pendaftaran pendakian

Gunung ini terletak di Daerah Tambunan boleh dimulakan dari Pekan Tambunan menuju Kampung Kaingaran seterusnya ke jalan balak hingga ke hujung laluan balak yang terputus disebabkan jambatan runtuh. Dari Tambunan ke sini mengambil masa kira-kira 1jam setengah dengan pacuan 4 roda. Sebelum tiba di starting point satu Pos dari Jabatan Hutan didirikan sejak Januari 2007 untuk merekod kemasukan pendaki ke hutan / G. Trusmadi.

Pendaki akan terus trekking menyusuri trek balak 1- 1 1/2 jam dengan purata kecerunan 10-25 darjah. Tidak jauh dari titik mula pendakian, ada rumah Jabatan Muzium Sabah yang digunakan memantau burung-burung disini. 3 batang sungai berjeram perlu dilintasi. 40 minit trekking, pendaki akan melintasi sungai yang ke-3 dan terakhir yang menjadi sumber air pendaki. Hampir sampai ke penghujung trek balak, trek mencanak 45-55 darjah.

Permulaan trek balak

Jarak rentis hujung trek balak / mula trek hutan hingga ke puncak cuma 4.9KM. Lazimnya trek ke Trusmadi adalah menyusuri sepanjang permatang hingga ke puncak. 1/2 jam -1 jam atau 0.5KM dari permulaan trek hutan pendaki akan tiba di Kem Site pertama setelah melalui trek dengan kecerunan 20-30 darjah. Kem site ini boleh memuatkan 20-30 orang untuk berkhemah dilindungi pokok-pokok yang tinggi tapi malangnya tiada sumber air berhampiran kawasan ini.

Puncak taman bunga checkpoint pendaki

Taman Bunga adalah checkpoint seterusnya diatas sebuah puncak. Tegak berdiri didepan satu puncak tipu pendaki akan tiba di Taman Bunga. Kem site disini cukup besar untuk menampung kira-kira 40-50 orang. Dikatakan pada musim berbunga kawasan ini dipenuhi bunga-bunga hutan umpama sebuah taman bunga. Jarak perjalanan dari Kem Site pertama mengambil masa 2-4 jam.

Rentis seterusnya menuruni melalui hutan berlumut (mossy forest) dan mendaki semula hingga puncak batu umpama rock garden yang mempunyai panorama menarik. Tali diikat disini bagi memudahkan pendaki menuruni cerun berbatu. Sekali lagi pendaki perlu menuruni dan melalui hutan berlumut.Lokasi sumber air ini berada berhampiran rentis ini. Trek ke sumber air berada disebelah kiri dan satu hut sedang dalam pembinaan disini jelas kelihatan dari rentis. Sumber air terakhir pendaki boleh diperoleh dari alur air yang turun dari gunung ini. Jarak dari simpang ke sumber air cuma 5 minit dan trek landai tapi dikelilingi pohon berlumut.
 
Telaga kecil di puncak

Puncak Stesen Pemancar berjarak 1 -2 jam dari Taman Bunga diselangi beberapa lagi puncak tipu, Puncak Stesen Pemancar mudah dikenali kerana ada satu Stesen Pemancar, terdapat kawasan lapang umpama tapak khemah disebelahnya. Puncak Trusmadi tinggal lagi 15 minit - 1/2 jam perjalanan dari Puncak Stesen Pemancar juga diselangi dua puncak tipu.

batu tanda dan beirut berlatar puncak Kinabalu

Puncak G. Trusmadi ditandakan dengan beirut dan batu tanda yang besar ditengah-tengah beirut. Pendaki boleh melihat panorama G. Kinabalu diatas awan dari puncak Trusmadi, jika bernasib baik boleh melihat G. Tamboyukon sayup-sayup dibalik kabus. Pokok-pokok bonsai di puncak Trusmadi setinggi 1-2 kaki.

Terdapat kawasan perkhemahan tidak jauh dari puncak ini yang boleh memuatkan kira-kira 40-50 orang dengan pokok-pokok setinggi 2-3 meter. Angin malam dipuncak ini agak kencang dan dingin. Di puncak pula terdapat 2 buah telaga kecil dengan diameter 25cm yang menakung air hujan. Air agak kekuningan dan takungan tidak sampai 2 kolah. Pendaki tidak digalakkan menggunakan air ini untuk tujuan minum.

Nota:
-Titi-titi balak yang merentasi sungai berjeram semakin runtuh.
-Rumah radio dan antena radio dipasang di taman bunga dan beberapa puncak lain.
-pohon-pohon dan akar-akar yang merentangi trek telah dipotong. Pendaki tidak lagi perlu menyusup dan menunduk kepala ketika trekking.

Log & Photo
Apip Embi
Kemaskini dari ekspedisi pada 4-5 Feb 2007
 

      © Hak Cipta Terpelihara OGKL 2005 : Versi 3.0